Thursday, April 16, 2015

PENJELASAN PELAKSANAAN GST HARUS DIPERLUASKAN KE KAWASAN PEDALAMAN

MIRI – Penjelasan berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang kini hangat diperkatakan seharusnya diperluaskan kepada penduduk kampung dan luar bandar untuk mengelak mereka teraniaya oleh peniaga-peniaga rakus keuntungan. Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata dengan adanya pemahaman tentang GST penduduk kampung dan kawasan luar bandar mampu melindungi diri mereka daripada ditipu peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barangan. “Tidak dinafikan terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sejak GST ini diperkenalkan. Sikap tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan pengguna marah dan salah anggap terhadap pelaksanaan GST,” katanya di sini. Pengenalan cukai berkenaan pada 1 April lalu telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada pengguna yang berkongsi rasa tidak puas hati mereka di laman media sosial. Ramai mendakwa peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi ke atas produk jualan mereka dengan harapan mengaut keuntungan berganda. Lebih merisaukan pengguna barangan yang dinaikkan harga ini merupakan barangan keperluan dan pengguna tiada pilihan selain membelikan barangan tersebut. Ada yang mendakwa peniaga tidak mempamerkan nombor GST pada resit serta mengenakan caj cukai secara bertulis di resit. Lebih membimbangkan apabila tiada kelibat penguatkuasa sama ada Jabatan Kastam mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di kedai mahupun premis di kawasan luar Bandar. “Mungkin dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan GST wujud banyak masalah. Yang penting, pihak berkuasa harus membuat pemantauan melindungi pengguna,” jelas beliau. Mengulas lanjut tentang penjelasan GST, Ahmad Lai berharap agar senarai penuh barangan yang dikenakan GST dapat diedarkan kepada pengguna termasuk mereka di luar bandar. Senarai berkenaan boleh dijadikan rujukan khasnya kalangan suri rumah tangga dan penduduk kampung mengurus perbelanjaan mereka mengikut harga baharu GST. Tinjauan mendapati masih ramai kalangan suri rumah belum memahami pelaksanaan GST dan merungut tentang kenaikan harga barangan di pasaran. Kepada pengguna Internet, Ahmad Lai meminta mereka tidak mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat tentang GST yang dikongsi di laman media sosial. Terdapat maklumat sengaja dikongsi untuk membangkitkan kemarahan pengguna terhadap pelaksanaan GST. Pengguna harus merujuk atau membuat aduan terus kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat dilakukan terhadap peniaga menipu pengguna. Hanya dengan cara ini akan dapat ‘mengajar’ peniaga yang selama ini menjadikan GST ini sebagai alasan untuk menaikkan harga barang sehingga keterlaluan KLXpress1 | April 5, 2015

301 ADUAN GST DITERIMA DI SABAH

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah menerima 301 aduan daripada pengguna mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Pengarahnya, Severinus Tukah berkata daripada jumlah itu sebanyak 154 aduan diterima melalui sistem aplikasi e-aduan manakala selebihnya aduan menerusi panggilan telefon di bilik gerakan KPDNKK negeri. Katanya, kebanyakan aduan pengguna berkaitan peniaga yang mengenakan caj enam peratus GST ke atas barangan yang tidak dikenakan cukai serta aduan mengenaik kenaikan harga oleh para peniaga. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis. Dalam pada itu,Severinus berkata, 13 Notis 21 telah dikeluarkan kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sepanjang tempoh pelaksanaan GST dikuatkuasakan. Menurutnya, notis itu dikeluarkan semasa pemeriksaan 8,713 premis perniagaan di negeri ini sepanjang tempoh lapan hari operasi Anti Pencatutan GST (Ops Catut-GST) dilaksanakan sejak 1 April lepas. “Sebelas notis dikeluarkan kepada premis perniagaan di Kota Kinabalu dan satu notis masing-masing di Sandakan dan Keningau,” katanya. Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) merupakan notis KPDNKK kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barangan atau perkhidmatan dan maklumat dalam notis itu perlu dilengkapkan dan dikembalikan kepada jabatan dalam tempoh tiga hari bekerja tanpa gagal. Ops Catut-GST Sabah bermula 1 April itu turut merekodkan sembilan kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Ehsan- BERNAMA

TRANSKRIP PENUH: WAWANCARA PM NAJIB RAZAK BERSAMA TV3

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab pelbagai soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan negara, Najib menjawab segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau, meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara. Beliau mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan Ahmir dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam ini.Berikut adalah transkrip penuh wawancara itu: MUKADIMAH HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang mengkritik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu pengurusan kewangan dan pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Yang Amat Berhormat terus memimpin. Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya alu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. SOALAN: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami kepada Datuk Seri dan juga warga kerja Pejabat Perdana Menteri atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri, Datuk Azlin Alias dan Datuk Mohd Poad (Jelani). Bagaimana Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berdukacita ini? NAJIB: Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara. Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk Poad sebagai setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan baik. Namun, walaupun saya tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan mereka itu menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin negara dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara. SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita hadapi secara global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi? NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan kejatuhan harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke paras separuh daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental ekonomi negara kita masih kukuh. Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi. Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela. SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha yang dibuat kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam pada itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri. Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat kritikan yang datang ini? NAJIB: Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya. Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan. Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti. SOALAN: Kita ambil contoh misal kata pengenalan GST pada 1 April. Ada pihak yang beranggapan bahawa dari segi timing GST diperkenal itu kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri? NAJIB: Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk memperkenalkan GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST; harga minyak dah jatuh. Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah dari masa-masa sebelumnya. Itu satu…rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia. Yang kedua, kerajaan telah membuat persediaan yang begitu lama. Soal GST ini sejak tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu. Jadi kita laksanakan daripada makronya sesuai masanya sebab kerajaan perlu kepada punca kewangan tambahan sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak dah jatuh. Jadi amat sesuai kita perkenal sekarang dan kita juga telah membuat satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan keperluan rakyat yang di-zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000. Tak pernah mana-mana negara yang membuat cara sedemikian dan ini bukan cukai tambahan. Ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang selain daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga per cent. Dan kita kurangkan juga cukai korporat, juga satu per cent. Jadi pakej, jika kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat. Kerana kita nak pastikan pelaksanaannya, ini pokok, pelaksanaannya dari segi penguatkuasaan. Kalau ada pihak komplen, dia bukan pengenalan GST sebenarnya, tetapi pihak peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua. Ada yang telah mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan dikurangkan. Misalnya, harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga, ada yang kedai kain cakap mereka akan absorb GST dan sebagainya. Jadi (apa yang) kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. SOALAN: Kita faham bahawa barangan harian yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia dikecualikan GST. Tapi ada juga dalam kalangan rakyat yang membangkitkan soal apabila mereka pergi kedai makan, makanan orang Malaysia seperti nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik juga dikenakan GST. Kalau nak beli kicap tomato, sos Maggi misalnya pun dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimana GST ini tidak membebankan mereka. Keluar hari-hari makan di kedai kopi pun dikenakan GST. NAJIB: Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada kuasa. Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan ataupun kedai-kedai makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak bertanggungjawab yang sengaja menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak kerajaan. Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai alternatif lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan pihak kastam. Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka yang menggeksploitasikan keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli. SOALAN: Saya nak kaitkan kembali antara BR1M dan GST seperti yang disuarakan Tun Mahathir juga bahawa masa yang tidak sesuai mengikut pandangan beliau, tidak semestinya betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan langkah yang berkesan untuk diambil oleh kerajaan. NAJIB: BR1M bukan handout. Sebenarkan BR1M merupakan social safety net yang telah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri. Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan sebagainya. Bila mereka bincang, pada mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi pukal. Maknanya subsidi daripada minyak kita nak kurangkan kerana banyak ketirisan. Banyak pembaziran. Banyak pihak yang tak layak dapat subsidi mendapat faedah subsidi. Jadi kita kata, kita kurangkan. Tapi kita kena kurangkan berperingkat-peringkat. Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan balik kepada rakyat. Jadi jika rakyat terpaksa membayar harga minyak lebih, mereka adalah, orang kata timbal balas dalam BR1M bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sekarang kita tambah sikit kepada RM4,000, tapi RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafahnya sebenarnya. Soal social safety net yang bukan saja Malaysia, tapi banyak negara lain mengamalkan sistem social safety net dalam pelbagai kaedah. SOALAN: Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada sebut kes Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur bahawa mahkamah telah buat keputusan kes ini…sudahpun berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir yang kata siapa yang beri arahan kepada pegawai polis terbabit untuk membunuh Altantuya. Terasa perkara ini pelik sebab kes itu sudah berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini? NAJIB: Ini cerita 2008…dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008…bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dan pihak polis telah jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri dah laporkan, dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat. Dan tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak ada langsung…tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah kita nak persoal integriti mahkamah kita yang kita pertahankan sebelum ini? SOALAN: Difahamkan Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah bertemu Tun Mahathir sendiri mengenai beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan Datuk Seri kes Altantuya ini? NAJIB: Tak secara langsung tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam (kes) Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap hormat dia misalnya, walaupun saya sebagai perdana menteri. Tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang rumah saya. Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri. SOALAN: Dia (Tun Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan memberi penerangan tetapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini? NAJIB: Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu…agak sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Dan kebanyakan perkara ini saya bawa dalam Kabinet dan Kabinet akan putuskan perkara ini. SOALAN: Datuk Seri, saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada pihak-pihak yang mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi beberapa personaliti tertentu amatlah meragukan sekali. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Saya nak jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan yang kita sifatkan sebuah investment company. Bermula dengan capital hanya RM1 juta saja berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita beri macam-macam suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja. Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam tapi aset-aset yang telah pun diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini saya nak tekankan… melebihi liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada 1MDB untuk membangunkan atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan hutang-hutangnya. Kita boleh pertikai business model, saya sedia dengar pandangan-pandangan berbeza tapi apa saya nak tegaskan di sini, saya tak condone, tak boleh terima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB. Misalnya duit dilesapkan…dan sebagainya. Sebab itu bila Lloyd sebagai auditor telah sahkan auditnya, saya masih tak puas hati. Saya dah bawa cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak balik secara terperinci. Dan setelah Ketua Audit Negara menyemak, saya minta PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) teliti pula. Dalam PAC ada pembangkang, mereka boleh bincang laporan audit. Apa saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan…bagi tempoh. Sebab kalau kita dakwa, ada banyak beza kalau kata duit dilesap atau pinjam, rizab. Saya juga minta Ketua Audit sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna untuk buat filem umpamanya. Saya nak tahu dan ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan laporan ketua audit dan mesti disahkan atau sebaliknya oleh PAC. SOALAN: Adakah Datuk Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih transparent dalam urus niaga akan datang supaya rakyat dapat maklumat secukupnya? NAJIB: Ya, begitulah dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya harap sedemikian. Begitu juga kita umumkan program rationalisation…kita sekarang dalam langkah pelaksanaan rationalisation 1MDB. Kita perlu tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah disediakan dan kita dalam peringkat pelaksanaan. SOALAN: Tadi Datuk Seri sebut pembikinan filem yang dituduh daripada 1MDB. Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan itu. Apa implikasinya? NAJIB: Sebab ada dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga tapi saya nak Ketua Audit mengesahkan perkara ini. SOALAN: Saya nak beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu ketika dahulu Datuk Seri sendiri menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan dikaji semula. Tapi baru-baru ini keputusan telah dibuat bahawa Akta Hasutan akan kekal. Jadi banyak pihak yang mengkritik Datuk Seri atas keputusan yang berubah-ubah ini. Apa komen Datuk Seri? NAJIB: Sebenarnya bila saya kata Akta Hasutan akan dikaji semula ia tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu bentuk dakwaan yang boleh disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan dalam akta baharu. Cuma nama Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh dianggap sebagai controversial sebab asal usul ‘sedition’ itu dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang dahulu. Jadi kita nak melihat dalam sudut lebih positif. Ia misalnya air dalam gelas. Separuh kosong kah separuh penuh. Itu sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita ini negara yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan. Perbalahan dan rusuhan. Dan ini mempertahankan semua kaum, semua kepercayaan bukan sahaja orang Islam, orang Melayu tetapi yang bukan Islam, yang bukan Melayu juga dipertahankan. Supaya negara kita ini aman. Kalau kita tidak sentuh soal agama, tidak menghina agama orang lain, tidak menidakkan soal kewarganegaraan orang lain, tidak mengatakan orang itu pendatang dan sebagainya, amanlah negara kita. Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Sebab dalam pindaan akta ini kita kata peruntukan mengkritik kerajaan itu kita mansuhkan. Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Sedition Act yang sedia ada. Kita dalam pindaan Sedition Act kita mansuhkan. Mereka boleh kritik kerajaan. Tetapi kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya itu tidak salah. Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita bahawa sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan negara kita. Kalau tiada keamanan, keselamatan negara, tiada apa guna bagi kita semua. SOALAN: Ada juga kalangan parti pembangkang yang beranggapan bahawa Akta Hasutan ini sebenarnya ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini benar? NAJIB: Tidak benar. Mereka pembangkang mereka boleh kata, mereka boleh kritik kerajaan, mereka boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu tukar kerajaan waktu pilihan raya, mereka boleh kata. Tentu sekali ini amalan demokorasi. Yang kita tidak mahu kalau mereka mengeksploit soal-soal agama, soal-soal kaum yang menghasut rakyat. Kalau mereka menghasut rakyat, rakyat marah, timbul perbalahan, kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan. SOALAN: Akta Hasutan mungkin terguna pakai untuk masalah yang wujud di dalam negara. Tetapi sekarang ini muncul pula ancaman terbaharu kepada negara iaitu ancaman pengikut-pengikut IS. Jadi bagaimanakah Datuk Seri melihat kerajaan akan menangani perkara ini daripada berlarutan? NAJIB: Itu sebab kita memperkenalkan akta baharu ini. Supaya kita boleh bertindak dengan kekuasaan baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada soal violence extremism. Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan, bakal menggunakan kekerasan. Saya tahu yang dipertikaikan ia merupakan preventive detention, ada element preventive detention. Tetapi ia tidak boleh disamakan dengan ISA sebab kuasa menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada mungkin hakim atau bekas hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan eksekutif. Jadi kalau kita nak tahan orang pun, kita mesti memberi bukti yang boleh meyakinkan badan khas ini dan mereka boleh membuat keputusan. Kalau kita tunggu sesuatu kejadian berlaku, katalah sebuah bom telah diletupkan, tentu kesan yang cukup dahsyat, implikasinya cukup buruk. Jadi sebelum sesuatu itu berlaku, kita ambil tindakan di bawah akta yang baharu ini tetapi kita mesti ada bukti yang cukup. Misalnya kita sudah tahu dia sudah ada bom, nak buat bom, tunggu masa sahaja nak bergerak, nak bertindak, masa itu kita boleh ambil tindakan di bawah akta yang baharu.

Tuesday, April 14, 2015

Janji ditepati

Kerajaan persekutuan memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berbeza dengan di Semenanjung yang lebuh rayanya dikenakan tol, kerana ada laluan alternatif disediakan, iaitu jalan yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya. "Lebuhraya Pan Borneo ialah laluan utama, tidak ada jalan alternatif, ini perlu diperjelaskan kenapa tol tidak dikenakan di sini. Di Semenanjung, laluan utama ialah lebuh raya utara selatan yang ada juga jalan alternatif," katanya semasa merasmikan fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bernilai RM13 bilion di sini. Najib berkata di Semenanjung, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan laluan utama yang dikenakan tol untuk cepat sampai ke destinasi tertentu, atau memilih jalan alternatif yang mungkin jauh jaraknya. Beliau berkata fasa seterusnya projek lebuh raya ini akan dilaksanakan pada tahun ini juga dengan pelancaran dijangka pada bulan September. Perdana menteri berkata apabila siapnya projek lebuh raya ini nanti ia bukan sahaja menambah baik infrastruktur Sarawak, tetapi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada semua rakyat di negeri ini. Beliau menafikan projek Lebuhraya Pan Borneo ialah projek mega yang membazirkan wang rakyat kerana projek itu bakal membawa faedah jangka panjang penduduk negeri ini. Dibina dengan kos keseluruhan RM27 bilion, projek Lebuhraya Pan Borneo akan melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jalan raya sepanjang 1,663 km dari Sarawa ke Sabah iaitu 936 km jalan di Sarawak dan 727 km untuk Sabah. Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang turut berucap berkata perundingan dengan konsesi tol di Kuching, Sibu dan Miri masih belum membuat sebarang keputusan sama ada hendak menurun atau menghapuskan kutipan tol bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan. "Kalau boleh tol dihapuskan, tapi ini belum diputuskan, kita mahu meringankan beban pengguna jalan raya yang terpaksa membayar cukai jalan dan mengurangkan kos sara hidup," katanya. Beliau berkata tindakan kerajaan persekutuan tidak mengenakan tol ke atas Lebuhraya Pan Borneo adalah keputusan tepat memandangkan ia akan menjadi laluan penting bagi penduduk Sarawak untuk tujuan ekonomi dan sosial. Beliau berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti kukuh komitmen kerajaan persekutuan menunaikan janji seperti yang termaktub dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

Kerajaan komited untuk membantu rakyat kelantan yang dilanda banjir

"Saya minta maaf jika ada mangsa yang sudah lama menunggu (untuk mendapatkan rumah kekal), jangan marah kepada kerajaan, kami sudah ada perancangan ke arah penyediaan tanah bagi pembinaan rumah kekal itu." "Jika tanah hendak diambil balik, (pemilik tanah) tolong berikan, bukan ambil percuma tetapi dibayar ikut harga pasaran, tuan-tuan tanah, kami perlukan sokongan (anda)," kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan pusat akan membeli atau mengambil balik tanah penduduk untuk pembinaan rumah kekal bagi mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir di negeri Kelantan pada Disember tahun lepas, kata beliau. Beliau berkata langkah tersebut adalah tindakan segera kerajaan untuk mengatasi masalah ketiadaan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal berkenaan. "Jawatankuasa Pembangunan Pasca Banjir telah diarahkan untuk segera mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai bagi pembinaan rumah kekal itu dan ia berdekatan dengan rumah asal mangsa banjir," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja pasca banjir di Dabong di sini, hari ini. Muhyiddin berkata kerajaan pusat akan menggunakan peruntukan RM700 juta yang disediakan sebelum ini untuk membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir, untuk tujuan penyediaan tanah tersebut. Beliau berkata terdapat 1,918 buah rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir di Kelantan dan hanya lima buah sahaja yang telah siap dibina, disebabkan faktor ketiadaan tanah.

Thursday, April 9, 2015

TUN MAHATHIR MOHAMED

Siapakah Tun Dr Mahathir Mohamad? Yang pasti... Tun bukanlah seperti PAS yang memecat ahlinya yang berjihad dibumi Syria. Jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan DS Anwar yang menyokong sepenuhnya I srael. Tun Dr Mahathir Mohamad.... 1.Dia lah yang menggerakkan negara Islam yang lain untuk membantu Bosnia Herzegovina ketika umat Islam disana disembelih oleh pengganas Serbia. 2. Dia juga lah yang menghantar ratusan komando Malaysia yang dibawa masuk secara sulit ke Bosnia untuk membantu saudara seIslam kita ketika era pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Bosnia ketika itu. “Kalau negara Arab ini tidak datang membantu, kita hantar sahaja askar kita,” - Tun Mahathir. 3. Dia juga lah berpakat dengan kerajaan Sultan Brunei menyediakan jumlah dana yang berjuta dollar untuk membeli senjata dan peluru anti kereta kebal untuk tentera Islam di Bosnia. 4. Dia lah yang pernah menangis ketika melawat Bunker yang menjadi pejabat Yasser Arafat di Palestin. 5. Dia juga lah pemimpin Islam yg Yasser Arafat hubungi meminta bantuan dan pertolongan ketika diserang oleh rejim zionis. 6. Dia juga lah yang mempertaruhkan nyawa isterinya,Tun Dr Siti Hasmah menaiki pesawat ke Baghdad membawa bantuan kemanusiaan kepada umat Islam demi untuk melepaskan sekatan Amerika Syarikat. 7. Dia lah yang digelar MahaFiraun dan dia jugalah yang lantang mengutuk kekejaman Yakjuj Makjuj / Zionis ke atas umat Islam serta mempertahankan Islam dimata dunia. 8. Dia lah yang berusaha keras, tak hanya duduk berdoa tanpa berbuat apa2. 9. Dia lah yang ketika saudara Islam yang berlainan parti mendoakan kecelakaan untuknya. Tapi dia diizin oleh Allah SWT masuk ke dalam KAABAH. Malah beliau kini dianggap sebagai seorang pemimpin dunia yang berjaya meskipun memimpin sebuah negara yang kecil. Beliau bukan hanya berjaya Memerdekakan negaranya dari semua segi, tetapi berusaha memerdekakan negara-negara lain dari belenggu falsafah pembangunan yang dijana dari barat yang jelas muflis idealistiknya.. Bila berbicara soal Tun M, sudah pasti sebak dan berlinang air mata kerana jasa yang dicurahkannya sudah pasti tidak dapat dibalas. Dialah.. TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, MANTAN PERDANA MENTERI MALAYSIA dan manusia yang dihormati UMAT ISLAM dan PEMIMPIN ISLAM seluruh dunia. Terima Kasih Tun , keranamu kini kami generasi pewaris menikmati hasilnya.

Wednesday, April 1, 2015

Penjelasan mengenai GST

sebelum 1 April 2015 : ----------------------------------- Price + Gov. Tax - SST (10%) + Service Charge by Company (5% or 6%) = 15% or 16% paid by Rakyat. pada 1 April 2015: ---------------------------------- Price + Gov. Tax - GST (6%) + Service Tax by Company (5% or 6%) = 11% or 12% paid by Rakyat. Sepatutnya government tax dibayar oleh Peniaga bukannya ditanggung oleh Pembeli, tapi yg berlaku sebaliknya. Yang menjadi isu kenaikan harga juga ialah kerana Peniaga yg tamak. Mereka masih mengekalkan peratusan yg dikenakan Kerajaan (SST) dan menambahkan lagi dgn peratusan baru iaitu GST. Sekali lagi diberitahu disini, cukai ini dikenakan ke atas Peniaga, bukan rakyat tapi peniaga serapkan dlm harga mereka. Siapakah yg kaut duit rakyat? Kerajaan atau Peniaga? Bila menuduh org apakah hukumnya? Dosakan? Kita patut berilmu dan jgn mengikut membuta tuli apatah lagi menuduh dgn perkara2 negatif. Sepatutnya kerajaan tidak perlu memperkenalkan sistem GST. Sebab majoriti rakyat yg malas berfikir dan asyik tahu merungut tanpa mencari kebenaran dan tidak akan ambil peduli. Pada hemat saya, mungkin kerajaan patut diamkan sahaja tanpa perlu war-warkan kepada rakyat kerana rakyat 'malas' berfikir dan asyik tau kondem kerajaan je. Sepatutnya kerajaan just bgtau SST dikurangkan kepada 6% dr 10% dan tak perlu nak "rename" ke nama GST. Diingatkan lagi cukai ditujukn kpd Peniaga. Adakah rakyat faham kenapa kerajaan war-warkan GST juga? Ini adalah supaya rakyat sedar segelintir peniaga yg tamak menipu duit rakyat. Ini adalah kerana kebanyakan peniaga tidak mendaftar dan tidak membayar cukai kerajaan (government tax) tapi peniaga tersebut mengenakan cukai tersebut kpd rakyat. Maka, siapa yg tipu rakyat? Kerajaan atau Peniaga yg tidak bertggjwb? Kerajaan memperkenalkan GST utk rakyat "aware" agar tidak ditipu Peniaga. Itu sbb kerajaan berikan listing perniagaan yg berdaftar, bagi listing barang2 yg dikenakan cukai. Transaksi perniagaan hendaklah berinvois / beresit. Jadi, kita sendiri boleh tahu peniaga mana yg penipu & tamak. Tapi kerajaan juga disalahkan. Walau bagaimanapun, apa yg berlaku dek kerana taksub anti-kerajaan, mereka2 yg tidak bertggjwb menaikkan harga dan mengaburi mata rakyat atas alasan GST tidak bagus. Mengapa peniaga buat begitu? Kerana, sekarang apa2 transaksi perniagaan, mereka kena ada invois, kena ada resit, dan tidak boleh sewenang2 men'charge' rakyat sesukahati & tidak lari cukai kerajaan. (Rakyat/pembeli boleh tgk dkt invois atau resit mereka.. even mamak restoran.. kedai runcit pon kena ada resit bila perlaksanaan GST k..). Kenapa mesti dikenakan cukai kerajaan? Cukai dikenakan bg membiayai pembangunan negara, segala subsidi yg diberikan kpd rakyat, penggajian (yg pasti 'pelbagai parti' yg bekerja di dlm sektor kerajaan), dsbgnya. Maka, di manakah sumber utk ini semua, jika bukan dr cukai. Pemimpin Pembangkang pandai cakap, gaji mereka juga dr sumber ini. Malah majoriti yg bekerja dlm kerajaan adalah org yg paling kuat menentang kerajaan. Apabila pilihanraya parti pembangkang akan kejarkan kawasan yg sudah membangun, terutama kawasan bandar. Knp tidak kawasan yg masih mundur? Hmm.. apabila pembangkang menang kwsn maju, maka akan nampak kerajaan tak buat keje ea? Kerana menang kawasan mundur? Itulah terjadi baru2 ini.. Lee Kuan Yew yg dpt nama baik krn membangunkan Singapura? Tahukah anda bahawa ketika Malaysia berpisah dgn Singapura, Malaysia telah membangunkan Singapura terlebih dahulu dgn mengadakan infra yg baik seperti Universiti Malaya, Port Singapore.. tapi siapa yg dapat nama? Tahukah anda Sejarah Singapura sudah diubah dgn kononnya founder Singapura adalah Lee Kuan Yew? Jgn sampai Malaysia pon jadi sebegitu sejarahnya.