Thursday, April 16, 2015

301 ADUAN GST DITERIMA DI SABAH

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah menerima 301 aduan daripada pengguna mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Pengarahnya, Severinus Tukah berkata daripada jumlah itu sebanyak 154 aduan diterima melalui sistem aplikasi e-aduan manakala selebihnya aduan menerusi panggilan telefon di bilik gerakan KPDNKK negeri. Katanya, kebanyakan aduan pengguna berkaitan peniaga yang mengenakan caj enam peratus GST ke atas barangan yang tidak dikenakan cukai serta aduan mengenaik kenaikan harga oleh para peniaga. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis. Dalam pada itu,Severinus berkata, 13 Notis 21 telah dikeluarkan kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sepanjang tempoh pelaksanaan GST dikuatkuasakan. Menurutnya, notis itu dikeluarkan semasa pemeriksaan 8,713 premis perniagaan di negeri ini sepanjang tempoh lapan hari operasi Anti Pencatutan GST (Ops Catut-GST) dilaksanakan sejak 1 April lepas. “Sebelas notis dikeluarkan kepada premis perniagaan di Kota Kinabalu dan satu notis masing-masing di Sandakan dan Keningau,” katanya. Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) merupakan notis KPDNKK kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barangan atau perkhidmatan dan maklumat dalam notis itu perlu dilengkapkan dan dikembalikan kepada jabatan dalam tempoh tiga hari bekerja tanpa gagal. Ops Catut-GST Sabah bermula 1 April itu turut merekodkan sembilan kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Ehsan- BERNAMA

No comments:

Post a Comment