Tuesday, April 14, 2015

Janji ditepati

Kerajaan persekutuan memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berbeza dengan di Semenanjung yang lebuh rayanya dikenakan tol, kerana ada laluan alternatif disediakan, iaitu jalan yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya. "Lebuhraya Pan Borneo ialah laluan utama, tidak ada jalan alternatif, ini perlu diperjelaskan kenapa tol tidak dikenakan di sini. Di Semenanjung, laluan utama ialah lebuh raya utara selatan yang ada juga jalan alternatif," katanya semasa merasmikan fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bernilai RM13 bilion di sini. Najib berkata di Semenanjung, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan laluan utama yang dikenakan tol untuk cepat sampai ke destinasi tertentu, atau memilih jalan alternatif yang mungkin jauh jaraknya. Beliau berkata fasa seterusnya projek lebuh raya ini akan dilaksanakan pada tahun ini juga dengan pelancaran dijangka pada bulan September. Perdana menteri berkata apabila siapnya projek lebuh raya ini nanti ia bukan sahaja menambah baik infrastruktur Sarawak, tetapi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada semua rakyat di negeri ini. Beliau menafikan projek Lebuhraya Pan Borneo ialah projek mega yang membazirkan wang rakyat kerana projek itu bakal membawa faedah jangka panjang penduduk negeri ini. Dibina dengan kos keseluruhan RM27 bilion, projek Lebuhraya Pan Borneo akan melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jalan raya sepanjang 1,663 km dari Sarawa ke Sabah iaitu 936 km jalan di Sarawak dan 727 km untuk Sabah. Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang turut berucap berkata perundingan dengan konsesi tol di Kuching, Sibu dan Miri masih belum membuat sebarang keputusan sama ada hendak menurun atau menghapuskan kutipan tol bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan. "Kalau boleh tol dihapuskan, tapi ini belum diputuskan, kita mahu meringankan beban pengguna jalan raya yang terpaksa membayar cukai jalan dan mengurangkan kos sara hidup," katanya. Beliau berkata tindakan kerajaan persekutuan tidak mengenakan tol ke atas Lebuhraya Pan Borneo adalah keputusan tepat memandangkan ia akan menjadi laluan penting bagi penduduk Sarawak untuk tujuan ekonomi dan sosial. Beliau berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti kukuh komitmen kerajaan persekutuan menunaikan janji seperti yang termaktub dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.

No comments:

Post a Comment