Tuesday, April 14, 2015

Kerajaan komited untuk membantu rakyat kelantan yang dilanda banjir

"Saya minta maaf jika ada mangsa yang sudah lama menunggu (untuk mendapatkan rumah kekal), jangan marah kepada kerajaan, kami sudah ada perancangan ke arah penyediaan tanah bagi pembinaan rumah kekal itu." "Jika tanah hendak diambil balik, (pemilik tanah) tolong berikan, bukan ambil percuma tetapi dibayar ikut harga pasaran, tuan-tuan tanah, kami perlukan sokongan (anda)," kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan pusat akan membeli atau mengambil balik tanah penduduk untuk pembinaan rumah kekal bagi mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir di negeri Kelantan pada Disember tahun lepas, kata beliau. Beliau berkata langkah tersebut adalah tindakan segera kerajaan untuk mengatasi masalah ketiadaan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal berkenaan. "Jawatankuasa Pembangunan Pasca Banjir telah diarahkan untuk segera mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai bagi pembinaan rumah kekal itu dan ia berdekatan dengan rumah asal mangsa banjir," katanya kepada pemberita pada lawatan kerja pasca banjir di Dabong di sini, hari ini. Muhyiddin berkata kerajaan pusat akan menggunakan peruntukan RM700 juta yang disediakan sebelum ini untuk membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir, untuk tujuan penyediaan tanah tersebut. Beliau berkata terdapat 1,918 buah rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir di Kelantan dan hanya lima buah sahaja yang telah siap dibina, disebabkan faktor ketiadaan tanah.

No comments:

Post a Comment