Thursday, April 16, 2015

PENJELASAN PELAKSANAAN GST HARUS DIPERLUASKAN KE KAWASAN PEDALAMAN

MIRI – Penjelasan berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang kini hangat diperkatakan seharusnya diperluaskan kepada penduduk kampung dan luar bandar untuk mengelak mereka teraniaya oleh peniaga-peniaga rakus keuntungan. Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata dengan adanya pemahaman tentang GST penduduk kampung dan kawasan luar bandar mampu melindungi diri mereka daripada ditipu peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barangan. “Tidak dinafikan terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sejak GST ini diperkenalkan. Sikap tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan pengguna marah dan salah anggap terhadap pelaksanaan GST,” katanya di sini. Pengenalan cukai berkenaan pada 1 April lalu telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada pengguna yang berkongsi rasa tidak puas hati mereka di laman media sosial. Ramai mendakwa peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi ke atas produk jualan mereka dengan harapan mengaut keuntungan berganda. Lebih merisaukan pengguna barangan yang dinaikkan harga ini merupakan barangan keperluan dan pengguna tiada pilihan selain membelikan barangan tersebut. Ada yang mendakwa peniaga tidak mempamerkan nombor GST pada resit serta mengenakan caj cukai secara bertulis di resit. Lebih membimbangkan apabila tiada kelibat penguatkuasa sama ada Jabatan Kastam mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di kedai mahupun premis di kawasan luar Bandar. “Mungkin dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaan GST wujud banyak masalah. Yang penting, pihak berkuasa harus membuat pemantauan melindungi pengguna,” jelas beliau. Mengulas lanjut tentang penjelasan GST, Ahmad Lai berharap agar senarai penuh barangan yang dikenakan GST dapat diedarkan kepada pengguna termasuk mereka di luar bandar. Senarai berkenaan boleh dijadikan rujukan khasnya kalangan suri rumah tangga dan penduduk kampung mengurus perbelanjaan mereka mengikut harga baharu GST. Tinjauan mendapati masih ramai kalangan suri rumah belum memahami pelaksanaan GST dan merungut tentang kenaikan harga barangan di pasaran. Kepada pengguna Internet, Ahmad Lai meminta mereka tidak mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat tentang GST yang dikongsi di laman media sosial. Terdapat maklumat sengaja dikongsi untuk membangkitkan kemarahan pengguna terhadap pelaksanaan GST. Pengguna harus merujuk atau membuat aduan terus kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat dilakukan terhadap peniaga menipu pengguna. Hanya dengan cara ini akan dapat ‘mengajar’ peniaga yang selama ini menjadikan GST ini sebagai alasan untuk menaikkan harga barang sehingga keterlaluan KLXpress1 | April 5, 2015

No comments:

Post a Comment