Tuesday, May 24, 2016

Kanan Kiri Tolak, Azmin Hilang Punca

AKHIRNYA Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terbukti memang tiada kekuatan untuk memecat tiga exco Pas di Selangor setelah kata dua yang diberikan Menteri Besar Selangor itu tamat semalam. Setelah kata dua itu tidak dipedulikan oleh Pas yang terus berkeras meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar, apa lagi Timbalan Presiden PKR itu sedang fikirkan? Bukan fikirkan lagi, malah keadaan semakin berserabut setelah `deadline’ itu tamat dengan Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Majlis Presiden Pakatan Harapan menyegerakan mesyuaratnya untuk memutuskan parti mana yang akan mewakili pakatan itu dalam dua PRK tersebut. Kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, persoalan dua PRK itu akan melibatkan pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan kerana itu bukan kehendak pakatan harapan. “Sukar bagi PKR untuk bertanding menentang Pas dalam PRK ini. Oleh itu, Amanah bersedia mewakili pakatan dalam kedua-dua PRK ini dan mengucapkan terima kasih kepada DAP Selangor atas sokongan terbuka mereka untuk Amanah mewakili pakatan harapan di Sungai Besar,” kata Khalid. Ugutan Azmin terhadap Exco-Exco Pas semua maklum hanya retorik dan cakap-cakap kosong sahaja. Ini kerana kalau dia mahu berbuat demikian, tindakan itu sudah dilakukan tahun lepas lagi apabila berlaku pertelingkahan antara DAP dan Pas. Pada November 2015, seorang perwakilan DAP Selangor mencadangkan agar kebuntuan gabungan ad-hoc antara PKR-DAP-PAS dalam kerajaan Selangor diselesaikan dengan memecat semua wakil Pas yang berjawatan dalam pentadbiran. Kata dua yang dilontarkan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong itu menegaskan jika tidak, DAP akan mengundurkan diri daripada kerajaan negeri itu. "Kami perlu bagi tempoh masa (Menteri Besar) Azmin Ali untuk selesaikan krisis sekarang, memecat wakil atau ejen Pas daripada Kerajaan Selangor. "Saya seru memecat ejen atau wakil di kerajaan Selangor. Senang saja Pas t mengingkari dasar pakatan. Kita tidak bekerjasama dengan Pas lagi. "Apa maknanya kerja dengan Pas lagi," katanya semasa perbahasan pada konvensyen DAP Selangor di Petaling Jaya waktu itu. Namun Azmin tidak ambil tindakan pun. Semalam, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menegaskan, pihaknya yang masih menunggu perkembangan tindakan pemecatan oleh Azmin. Bagaimanapun, soal bertanding di kedua-dua PRK itu, Pas muktamad. “Ya, Pas akan bertanding, tentang calon, Jawatankuasa Pilihanraya Pas akan beritahu nanti,” tambahnya. Dalam pada itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Zuhdi Marzuki ketika ditemui menegaskan bahawa Azmin tidak ada hak untuk memecat tiga orang exco Selangor tersebut. “Kena ingat, Pas tak makan ugutan, tengok Presiden kita pun tak takut diugut, kita sudah biasa ada kerajaan, kita sudah biasa tak ada kerajaan, kita memang tak takut dengan ugutan. “Dia hanya boleh mendapat perkenan dari Sultan Selangor, tapi dia tak boleh pecat, selagi tak dapat perkenan Sultan, dia tak boleh pecat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment