Tuesday, May 24, 2016

Jangan Hina UMNO, Ahli Parti Beri Amaran Pada Tun M

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan supaya tidak menghina parti itu dengan menganggap ahli menerima habuan dari Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. Menurut Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, istilah 'makan dedak' yang kerap diungkap oleh Mahathir merupakan satu penghinaan besar kepada parti Melayu tersebut. “Janganlah menghina sampai begitu sekali, itu ahli UMNO yang sokong dia dulu, saya ada waktu itu masa Tun M jadi Presiden UMNO, jadi Perdana Menteri, kita ni apa? Bisu kah? Makan dedak kah? Itu tak adil bila Tun M hina kita semua macam tu sekali, itu tak betul. "Tapi nak kata sama ada kita bercakap atau tidak, mana dia tahu? Takkan kita nak melalak tepi jalan tu? Kita bercakap, tapi pada tempat yang betul, dalam MT kita bercakap, kita bagi pandangan, nasihat, jadi nak ukur sama ada bisu atau tak bisu, hanya kerana kita tak ikut ‘style’ dia? Buat demonstrasi jalanan macam dia? Itu baru kata tak bisu? Kalau cakap dalam dewan tu bisu lah?” soalnya ketika ditemui di Lobi Parlimen, Selasa. Semalam, Tun M menuduh kebanyakan ahli dan pimpinan UMNO yang ada pada hari ini sudah menjadi pekak, bisu dan buta pada perhimpunan Muafakat Selamatkan Malaysia : Reformasi Institusi Bebaskan Anwar, undur Najib di Ampang. Malah Tun M menyifatkan Najib telah memberi banyak makan ‘dedak’ kepada kepada ahli UMNO BN hingga membuatkan semua ahli parti itu takut untuk bersuara mengkritik kepimpinan Perdana Menteri. “Kita bersuara apa, dalam Perhimpunan Agung, kita tengok begitu lantangnya mereka, dengan kritikal, mereka akan memberi kritikan, nasihat, komen terhadap kepimpinan, komen terhadap kerajaan, kita tak bisu, itu tak betul. “Kita sedih perkara itu disebut dan datang dari seorang negarawan,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu. Dalam pada itu, Tajuddin menyifatkan Tun M tidak berhak untuk menilai Najib lebih ‘diktator’ daripada beliau ketika memimpin negara. Katanya, hanya rakyat berhak untuk membuat ukuran sejauh mana seseorang pemimpin mentadbir negara. “Dia (Tun Mahathir) kata? orang lain kata? kita tak boleh mengukur diri kita sendiri, ini semua orang lain yang akan mengukur kita. “Nak tahu siapa kita, baik atau tidak diktator atau tidak, itu adalah orang yang cakap, pemerhati kata, saya tak rasa apa yang dia cakap tu tak betul, jadi pada saya itu bukan perkara serius yang perlu diambil kira,” katanya lagi. Sebelum ini bekas perdana menteri itu mengakui yang beliau seorang diktator tetapi rakyat tidak berdemonstrasi mendesak dirinya berundur seperti yang berlaku kepada Najib. Namun pemerintahannya adalah lebih baik berbanding Najib yang menghadapi tentangan rakyat kerana lemah memerintah negara sehingga didesak berundur.

No comments:

Post a Comment