Tuesday, May 24, 2016

Datuk Seri Najib Sediakan Aras Demokrasi UMNO

DI bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Presiden, aras demokrasi UMNO terbuka meluas dengan sistem pemilihan parti itu diubah. Perlembagaan UMNO dipinda pada 2009, hanya enam bulan selepas Datuk Seri Najib mengambil alih sebagai presiden, dengan memansuhkan sistem cuota. Sebelum ini, seseorang yang mahu bertanding presiden disyaratkan terlebih dahulu mendapat kuota sokongan 57 daripada 191 bahagian (30%). Ini sekali gus membuka ruang kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum pernah memegang jawatan ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal. Berbanding hanya sekumpulan orang iaitu 2,500 perwakilan untuk menentukan pucuk kepimpinan parti sebelum ini, kali ini ia ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu. Sejumlah 146,500 anggota parti di peringkat akar umbi di 191 bahagian itu terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan parti anggota Majlis Tertinggi (iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan 25 anggota Majlis Tertinggi di samping memilih anggota jawatankuasa bahagian. Ini juga bermakna Datuk Seri Najib adalah Presiden UMNO pertama dipilih menerusi sistem perlembagaan parti yang baharu. Bukan mudah untuk seorang presiden menempuh cabaran dipilih secara demokratik terbuka. Kalau dulu ditentukan oleh 2,500 orang menerusi pemilihan di Kuala Lumpur, diikuti dengan undi bonus sebelum diganti kuota. Bahkan waktu itu mahu mencabar presiden mesti memperoleh pencalonan 63 bahagian. Pemilihan UMNO pada Oktober 2013 memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding namun yang akan menentukan kemenangan mereka ialah majoriti sokongan yang diraih. Pemimpin yang bakal dipilih ialah pilihan suara majoriti anggota dan bukan semata-mata perwakilan yang mewakili bahagian. Pindaan Perlembagaan pada 2009 turut meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baharu dan mengiktiraf sumbangan Setiausaha Bahagian. Pindaan tersebut di bawah inisiatif Datuk Seri Najib adalah sebahagian daripada proses transformasi parti bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan inklusif, namun, kaedah pemilihan serta pengundian, masih dalam proses penambahbaikan. Ia adalah sejarah yang paling berharga dalam ulang tahun UMNO ke-70 tahun.

No comments:

Post a Comment