Tuesday, May 24, 2016

V Untuk Kuala Lumpur, F Untuk Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk menukar nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing akan bermula dengan ‘V’ dan ‘F’. Ini kerana menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi nombor sedia ada bagi dua wilayah berkenaan ketika ini yang bermula dan berakhir dengan alphabet tidak lagi menarik dan sukar dibaca. “Kita melihat pandangan ini ada kebenarannya apabila nombor wilayah sudah begitu rumit dan menyebabkan pendapatan kerajaan (melalui tender membeli nombor pendaftaran) menurun kerana ianya dilihat tidak efektif,” kata Ab. Aziz yang menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari pada sesi Dewan Rakyat di Parlimen pada Khamis. Tambahya, rakyat di negara ini berkecenderungan untuk ‘melabur’ bagi memiliki nombor kenderaan yang lebih kecil berbanding nombor besar. “Kita akan keluarkan nombor pendaftaran baru, Wilayah Persekutuan bermula dengan ‘V’, Putrajaya juga memohon nombor pendaftaran sendiri dan akan dikeluarkan dengan huruf ‘F’ dan nombor ini akan mengecil semua dan mudah di baca dan ini akan mencorak minat pemilik kenderaan kerana masyarakat di Malaysia minat nombor yang kecil,” katanya. Setakat hari ini, nombor pendaftaran bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah ‘WC 4143 V’. Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan sebuah unit pasukan tindakan khas bagi menangani masalah ‘lori hantu’ di jalan raya. “JPJ akan memantau melalui unit ini bagi menangani kesalahan serius termasuk masalah lori hantu yang mendatangkan kesulitan orang ramai. “Langkah ini akan memastikan tindakan segera diambil ke atas individu dan sindiket ini dapat dibanteras dengan sewajarnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment