Sunday, July 3, 2016

Wan Azizah Cabar Tun M Tanding PRU Jika Mahu Teraju Pakatan Pembangkang

PULAU PINANG – Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya berhasrat mahu terus terlibat dalam politik, ujar Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Secara sinis Presiden PKR itu berkata, Dr. Mahathir perlu berbuat demikian bagi membuktikan beliau merupakan pilihan rakyat seterusnya layak menerajui pakatan pembangkang. Katanya, beliau sendiri telah melalui situasi berkenaan sebelum berada pada kedudukan hari ini. “Saya bertanding pilihan raya dan menang kerana dipilih rakyat dan menjadi ketua pembangkang, jadi kamu nilai sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP). Wan Azizah mengulas saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak dalam blognya bahawa Dr. Mahathir perlu mengambil kedudukan dalam kepemimpinan pembangkang kerana beliau sudah melaksanakan peranan itu secara ‘de facto’. Ketika ditanya sama ada Dr. Mahathir wajar bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mahu menjadi ketua pembangkang, Wan Azizah berkata: “Kamu (media) yang perlu membuat spekulasi dan saya tidak mahu bercakap apa-apa tentang perkara itu pada masa sekarang. Yang penting saya bertanding dan menang.”

Isu Banglo : Usah Terpedaya Kempen Kutipan Derma Pembangkang

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan kempen kutipan derma oleh parti-parti pembangkang. Orang ramai, katanya, perlu sedar bahawa parti-parti pembangkang hanya mahu mengejar populariti dan meraih simpati mereka untuk mendapat sokongan. Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan terowong jalan kedua di Jalan Tuanku Abdul Halim ke Lebuhraya Sultan Iskandar di sini, hari ini, Tengku Adnan percaya parti DAP mempunyai dananya sendiri. Beliau diminta mengulas kempen kutipan derma sebanyak RM1 juta yang dilancarkan oleh DAP Pulau Pinang untuk Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, yang kini menghadapi dua pertuduhan rasuah di mahkamah. Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan ikat jamin RM1 juta kepada Lim dengan seorang penjamin selepas beliau mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran. Berikutan kes itu, DAP Pulau Pinang yang diketuai Chow Kon Yeow telah melancarkan kutipan derma daripada orang ramai bagi menampung perbelanjaan wang jaminan itu. - BERNAMA

Rupa-rupanya Guan Eng `Kawal' Mesyuarat Desak Dia Bercuti

MANA tidaknya semua pemimpin DAP membisu seribu bahasa soal berkaitan isu mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti sehingga kes pertuduhan banglonya selesai dibicarakan di mahkamah. Yalah macam mana nak desak kalau orang yang sepatutnya didesak itu ada pula dalam mesyuarat yang mahu membincangkan perkara itu. Semasa Guan Eng diikat jamin RM1 juta untuk bebas sementara menunggu kesnya disebut oleh mahkamah, dia sebaik sahaja keluar dari mahkamah di George Town itu terus menyatakan `saya masih lagi Ketua Menteri'. Sejurus kemudian dia mengadakan mesyuarat tergempar dengan CEC DAP di Pulau Pinang untuk membincangkan sama ada dia sendiri kekal atau bercuti sebagai Ketua Menteri atau bercuti. Apa yang pelik, Guan Eng sendiri ada dalam mesyuarat itu. Takkanlah dia nak putuskan keputusan mengenai dirinya sendiri ada dalam mesyuarat. Sudah tentu pengerusi DAP, Chow Kon Yeow dan ahli-ahli CEC takut nak angkat muka menyatakan pendirian masing-masing. Hari ini perkara yang sama berlaku dalam sidang akhbar Pakatan Harapan di George Town untuk memutuskan kedudukan Guan Eng. Guan Eng rupa-rupanya sekali lagi ada dalam sidang akhbar itu. Terpaksalah sekali lagi Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Naib Presiden PAN, Datuk Mujahid Yusof dan Kon Yeow sekali lagi `tunduk' dan membuat kenyataan ini: "Terdapat beberapa pendirian yang kami ambil berhubung keputusan ini, yang pertama jawatan yang disandang oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sekarang ini tidak ada sebarang hubungan ataupun pengaruh dalam badan kehakiman dan juga lain-lain institusi perundangan dan penguat kuasa negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Jadi tidak ada campur tangan politik." Bila sudah terkena batang hidung sendiri, tahu pula Guan Eng mencari alasan untuk menyelamatkan tengkuk sendiri. Guan Eng takkan pura-pura tidak mendengar kenyataan rakan-rakannya sebelum ini perihal isu bercuti ini. Bukankah pada 22 Mac lalu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru antara mereka yang mencadangkannya supaya Guan Eng bercuti sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pembelian banglo RM2.8 juta olehnya yang mencetuskan kontroversi selesai. "Ini untuk menjaga imej dan integriti," kata Thiru yang dilaporkan oleh Malay Mail. Cuba pula baca kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang direkodkan dalam berita MalaysiaKini laporan Lu Wei Hoong di capaient https://www.malaysiakini.com/news/334753. Kata Ahli Parlimen PJ Utara itu juga pada 22 Mac lalu, Guan Eng tidak perlu bercuti dari jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kecualilah dia didakwa di mahkamah. "Hanya jika Guan Eng didakwa, dia harus mengambil cuti," kata Tony. Apa ini Tony, anda cakap tidak serupa bikin. Selepas Guan Eng didakwa di mahkamah dalam isu pembelian banglonya, tidak terdengar langsung kenyataan daripada anda. Lebih pelik lagi, tiada seorang pemimpin DAP ke depan untuk meminta Guan Eng bercuti dari jawatan Ketua Menteri untuk sementara waktu. Sewajarnya Guan Eng melepaskan jawatannya bagi membuktikan tidak wujud amalan ‘diktator’ dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang. Tindakan itu juga bagi memastikan amalan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa bebas daripada budaya politik tidak sihat.