Sunday, July 3, 2016

Rupa-rupanya Guan Eng `Kawal' Mesyuarat Desak Dia Bercuti

MANA tidaknya semua pemimpin DAP membisu seribu bahasa soal berkaitan isu mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti sehingga kes pertuduhan banglonya selesai dibicarakan di mahkamah. Yalah macam mana nak desak kalau orang yang sepatutnya didesak itu ada pula dalam mesyuarat yang mahu membincangkan perkara itu. Semasa Guan Eng diikat jamin RM1 juta untuk bebas sementara menunggu kesnya disebut oleh mahkamah, dia sebaik sahaja keluar dari mahkamah di George Town itu terus menyatakan `saya masih lagi Ketua Menteri'. Sejurus kemudian dia mengadakan mesyuarat tergempar dengan CEC DAP di Pulau Pinang untuk membincangkan sama ada dia sendiri kekal atau bercuti sebagai Ketua Menteri atau bercuti. Apa yang pelik, Guan Eng sendiri ada dalam mesyuarat itu. Takkanlah dia nak putuskan keputusan mengenai dirinya sendiri ada dalam mesyuarat. Sudah tentu pengerusi DAP, Chow Kon Yeow dan ahli-ahli CEC takut nak angkat muka menyatakan pendirian masing-masing. Hari ini perkara yang sama berlaku dalam sidang akhbar Pakatan Harapan di George Town untuk memutuskan kedudukan Guan Eng. Guan Eng rupa-rupanya sekali lagi ada dalam sidang akhbar itu. Terpaksalah sekali lagi Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, Naib Presiden PAN, Datuk Mujahid Yusof dan Kon Yeow sekali lagi `tunduk' dan membuat kenyataan ini: "Terdapat beberapa pendirian yang kami ambil berhubung keputusan ini, yang pertama jawatan yang disandang oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sekarang ini tidak ada sebarang hubungan ataupun pengaruh dalam badan kehakiman dan juga lain-lain institusi perundangan dan penguat kuasa negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Jadi tidak ada campur tangan politik." Bila sudah terkena batang hidung sendiri, tahu pula Guan Eng mencari alasan untuk menyelamatkan tengkuk sendiri. Guan Eng takkan pura-pura tidak mendengar kenyataan rakan-rakannya sebelum ini perihal isu bercuti ini. Bukankah pada 22 Mac lalu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru antara mereka yang mencadangkannya supaya Guan Eng bercuti sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pembelian banglo RM2.8 juta olehnya yang mencetuskan kontroversi selesai. "Ini untuk menjaga imej dan integriti," kata Thiru yang dilaporkan oleh Malay Mail. Cuba pula baca kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang direkodkan dalam berita MalaysiaKini laporan Lu Wei Hoong di capaient https://www.malaysiakini.com/news/334753. Kata Ahli Parlimen PJ Utara itu juga pada 22 Mac lalu, Guan Eng tidak perlu bercuti dari jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kecualilah dia didakwa di mahkamah. "Hanya jika Guan Eng didakwa, dia harus mengambil cuti," kata Tony. Apa ini Tony, anda cakap tidak serupa bikin. Selepas Guan Eng didakwa di mahkamah dalam isu pembelian banglonya, tidak terdengar langsung kenyataan daripada anda. Lebih pelik lagi, tiada seorang pemimpin DAP ke depan untuk meminta Guan Eng bercuti dari jawatan Ketua Menteri untuk sementara waktu. Sewajarnya Guan Eng melepaskan jawatannya bagi membuktikan tidak wujud amalan ‘diktator’ dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang. Tindakan itu juga bagi memastikan amalan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa bebas daripada budaya politik tidak sihat.

No comments:

Post a Comment