Sunday, July 3, 2016

Wan Azizah Cabar Tun M Tanding PRU Jika Mahu Teraju Pakatan Pembangkang

PULAU PINANG – Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya berhasrat mahu terus terlibat dalam politik, ujar Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Secara sinis Presiden PKR itu berkata, Dr. Mahathir perlu berbuat demikian bagi membuktikan beliau merupakan pilihan rakyat seterusnya layak menerajui pakatan pembangkang. Katanya, beliau sendiri telah melalui situasi berkenaan sebelum berada pada kedudukan hari ini. “Saya bertanding pilihan raya dan menang kerana dipilih rakyat dan menjadi ketua pembangkang, jadi kamu nilai sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanifah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP). Wan Azizah mengulas saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Keruak dalam blognya bahawa Dr. Mahathir perlu mengambil kedudukan dalam kepemimpinan pembangkang kerana beliau sudah melaksanakan peranan itu secara ‘de facto’. Ketika ditanya sama ada Dr. Mahathir wajar bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mahu menjadi ketua pembangkang, Wan Azizah berkata: “Kamu (media) yang perlu membuat spekulasi dan saya tidak mahu bercakap apa-apa tentang perkara itu pada masa sekarang. Yang penting saya bertanding dan menang.”

No comments:

Post a Comment