Tuesday, May 24, 2016

Datuk Seri Najib Sediakan Aras Demokrasi UMNO

DI bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Presiden, aras demokrasi UMNO terbuka meluas dengan sistem pemilihan parti itu diubah. Perlembagaan UMNO dipinda pada 2009, hanya enam bulan selepas Datuk Seri Najib mengambil alih sebagai presiden, dengan memansuhkan sistem cuota. Sebelum ini, seseorang yang mahu bertanding presiden disyaratkan terlebih dahulu mendapat kuota sokongan 57 daripada 191 bahagian (30%). Ini sekali gus membuka ruang kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum pernah memegang jawatan ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal. Berbanding hanya sekumpulan orang iaitu 2,500 perwakilan untuk menentukan pucuk kepimpinan parti sebelum ini, kali ini ia ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu. Sejumlah 146,500 anggota parti di peringkat akar umbi di 191 bahagian itu terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan parti anggota Majlis Tertinggi (iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden dan 25 anggota Majlis Tertinggi di samping memilih anggota jawatankuasa bahagian. Ini juga bermakna Datuk Seri Najib adalah Presiden UMNO pertama dipilih menerusi sistem perlembagaan parti yang baharu. Bukan mudah untuk seorang presiden menempuh cabaran dipilih secara demokratik terbuka. Kalau dulu ditentukan oleh 2,500 orang menerusi pemilihan di Kuala Lumpur, diikuti dengan undi bonus sebelum diganti kuota. Bahkan waktu itu mahu mencabar presiden mesti memperoleh pencalonan 63 bahagian. Pemilihan UMNO pada Oktober 2013 memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding namun yang akan menentukan kemenangan mereka ialah majoriti sokongan yang diraih. Pemimpin yang bakal dipilih ialah pilihan suara majoriti anggota dan bukan semata-mata perwakilan yang mewakili bahagian. Pindaan Perlembagaan pada 2009 turut meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baharu dan mengiktiraf sumbangan Setiausaha Bahagian. Pindaan tersebut di bawah inisiatif Datuk Seri Najib adalah sebahagian daripada proses transformasi parti bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan inklusif, namun, kaedah pemilihan serta pengundian, masih dalam proses penambahbaikan. Ia adalah sejarah yang paling berharga dalam ulang tahun UMNO ke-70 tahun.

V Untuk Kuala Lumpur, F Untuk Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang untuk menukar nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing akan bermula dengan ‘V’ dan ‘F’. Ini kerana menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi nombor sedia ada bagi dua wilayah berkenaan ketika ini yang bermula dan berakhir dengan alphabet tidak lagi menarik dan sukar dibaca. “Kita melihat pandangan ini ada kebenarannya apabila nombor wilayah sudah begitu rumit dan menyebabkan pendapatan kerajaan (melalui tender membeli nombor pendaftaran) menurun kerana ianya dilihat tidak efektif,” kata Ab. Aziz yang menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari pada sesi Dewan Rakyat di Parlimen pada Khamis. Tambahya, rakyat di negara ini berkecenderungan untuk ‘melabur’ bagi memiliki nombor kenderaan yang lebih kecil berbanding nombor besar. “Kita akan keluarkan nombor pendaftaran baru, Wilayah Persekutuan bermula dengan ‘V’, Putrajaya juga memohon nombor pendaftaran sendiri dan akan dikeluarkan dengan huruf ‘F’ dan nombor ini akan mengecil semua dan mudah di baca dan ini akan mencorak minat pemilik kenderaan kerana masyarakat di Malaysia minat nombor yang kecil,” katanya. Setakat hari ini, nombor pendaftaran bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah ‘WC 4143 V’. Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan sebuah unit pasukan tindakan khas bagi menangani masalah ‘lori hantu’ di jalan raya. “JPJ akan memantau melalui unit ini bagi menangani kesalahan serius termasuk masalah lori hantu yang mendatangkan kesulitan orang ramai. “Langkah ini akan memastikan tindakan segera diambil ke atas individu dan sindiket ini dapat dibanteras dengan sewajarnya,” katanya.

Azmin Enggan Beri Tanah Percuma Untuk Bina Hospital

KERAJAAN negeri Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin Ali terus bercelaru apabila satu demi satu masalah dan isu yang timbul, tapi tidak juga selesai. Terbaharu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya memberitahu bahawa kerajaan Selangor berdolak dalik dalam memberi tanah untuk pembinaan hospital. Menerusi perbahasan di Parlimen hari ini, jelas menggambarkan bahawa kerajaan Pusat terpaksa membeli tanah di Kapar untuk membina sebuah hospital yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor. Sedangkan, sebenarnya Selangor di bawah pimpinan Azmin ini boleh sahaja memberikan tanah itu secara percuma, sesuai dengan laungan negara berkebajikan yang beliau sendiri katakan. “Dalam mesyuarat Problem Solving Community (PSC) di Selangor, Sime Darby memberitahu bahawa tapak (tanah) ini perlu dibeli. Bermakna kementerian perlu menyediakan dana dan kos untuk 50 ekar tanah itu sebanyak RM45 juta. “Pada peringkat awal, soal pembelian ini tidak langsung disebut. Hanya pada mesyuarat terakhir, baru mereka memberitahu ia perlu dibayar,” katanya dalam persidangan parlimen. Justeru kata Hilmi, pihak kementerian terpaksa pergi semula ke IPU untuk mendapatkan dana bagi