Tuesday, September 27, 2011

Hudud: Cubaan Nik Aziz Tutup Kebaikan Najib

JALAN BAYAM – Isu Pas Kelantan untuk laksanakan undang-undang Hudud dan Qisas dilihat cuba mengaburi rakyat terhadap usaha murni kerajaan pusat menegakkan hak kemanusiaan di negara ini dengan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Respon beberapa penduduk Kota Bharu berpendapat, Pas dilihat terdesak kerana ketandusan isu dan telah membangkitkan isu lama seperti hudud bagi menghangatkan provokasi politik di dalam negara bagi menutup kebaikan yang telah dibuat kerajaan pusat Barisan Nasional (BN).
Hanapi Mamat, 51, berkata apa yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menghapuskan ISA adalah lebih mulia daripada isu yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung soal laksana hudud.
“Najib hapuskan undang-undang yang dilihat sekarang ini menyekat kebebasan fikiran rakyat. Dengan terhapusnya ISA, rakyat akan berani bersuara tanpa rasa takut. Ini akan membina kerajaan yang telus dan rakyat berfikiran intelek.
“Tetapi Nik Aziz berteriak soal undang-undang yang telah diluluskan tetapi kerajaan negeri pimpinannya gagal laksana sejak 17 tahun lalu. Pusat sudah tidak halang. Apa yang dibisingkan oleh Pas, saya pun tidak tahu. Bagi saya laksana sahajalah tunggu apa lagi,” katanya kepada khabar KB di sini hari ini.
Ramli Ibrahim, 43, berkata bagi beliau apa yang dilakukan oleh Najib adalah sesuatu yang lebih murni dengan menghapuskan ISA kerana Najib mengajak rakyat ke arah kebaikan dengan membolehkan mereka menegur kerajaan secara terbuka dan mencegah kemungkaran dengan menghapuskan ISA yang menahan rakyat tanpa perbicaraan.
“Inilah menegakkan keadilan yang sebenar dan ianya mengikut kehendak Islam seperti termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah,” katanya.
Malahan katanya menurut kenyataan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin selagi keadilan tidak ditegakkan dengan menjaga kebaikan dan menjauhi rakyat daripada kemungkaran adalah tidak wajar dilaksanakan lagi hudud. Tetapi perjuangan ke atas hudud tetap tidak pernah berhenti.
“Justeru apa yang dilakukan oleh Najib itu lebih mulia disisi Islam berbanding Nik Aziz yang menyebabkan ramai orang Islam mula berpecah akibat isu hudud yang Pas Kelantan sendiri tidak mahu laksana biarpun undang-undang sudah ada,” katanya.
Laporan media memetik Dr Mohd Asri berkata hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di negara ini mahupun di Kelantan kerana keadaan tidak kondusif dan adalah tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan pihak lain kerana tidak melaksanakan hukum hudud itu.
Dr Mohd Asri berkata jika ia dilakukan juga, hudud itu akan menimbulkan ketidak-adilan kepada semua pihak dalam masyarakat majmuk di negara ini.
“Jika ada hukum yang ditegak atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya,” katanya.

Sumber : KHABAR KOTA BAHARU

No comments:

Post a Comment