Wednesday, July 8, 2015

Pekebun Kecil Risda Perak Terima Dividen RM17.2 Juta

SUNGAI SIPUT - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Saarani Mohamad berkata sejumlah 5,585 pekebun kecil di Perak menerima dividen RM17.2 juta daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), hari ini.. Jelas beliau, pembayaran diberikan kepada pekebun kecil dalam Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersil (TSK). "Paling rendah, bagi peserta RTBB menerima dividen sebanyak RM1,976.80 bagi setiap satu hektar dan paling tinggi menerima RM4,000 bagi 2.02 hektar. Manakala bagi peserta TSK pula, paling rendah menerima dividen berjumlah RM2,640 bagi setiap satu hektar dan RM8,750 bagi setiap 3.3 hektar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen RTBB dan TSK RISDA negeri Perak 2015, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah RISDA Perak, Ali Sabudin Abdul Samad. Ali Sabudin berkata Risda pada tahun ini, akan memberikan tumpuan dan penekanan yang lebih kepada pembangunan usahawan sebagai satu fungsi utama RISDA selain daripada penanaman semula. Katanya, agenda RISDA itu adalah selaras dengan objektif untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada sumber getah dan sawit sahaja. Sehubungan itu, beliau berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk membangunkan usahawan pekebun kecil dari aspek latihan dan kemahiran, bantuan modal dan pembiayaan, pembangunan produk dan pensijilan, premis perniagaan, pemasaran dan promosi.

No comments:

Post a Comment