Monday, June 13, 2016

Aktivis DAP tinggalkan DAP dan simpati PAS

Aktivis DAP tinggalkan DAP dan simpati PAS a76Bekas aktivis DAP, Shen Yee Aun (SYA) mendedahkan bagaimana strategi licik DAP menguasai PKR dan PAS sebagai modus operandi untuk memecahkan undi Melayu/Islam di Malaysia. Menurutnya, dengan perpecahan undi Melayu/Islam kepada UMNO, PAS, PKR dan parti Islam baharu, ia bakal menguntungkan DAP sebagai ‘King Maker’ politik di negara ini. SYA adalah bekas Setiusaha DAP, Taman Gembira, Klang, Ketua Pemuda DAP Klang dan Setiausaha Pemuda DAP Kebangsaan. Agenda DAP Menguasai PKR dan PAS 1. Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan protes membebaskan Anwar Ibrahim ketika Anwar disabitkan secara sah dan benar bersalah oleh mahkamah. Keadaan ini melenyapkan perjuangan aura dan karisma Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dan jambatan dalam Pakatan Pembangkang. Tiada sambutan dalam beberapa protes yang dianjurkan untuk menyokong Anwar Ibrahim. 2. DAP memberi sokongan penuh terhadap Wan Azizah dalam PKR untuk menjadi MB (Selangor) dalam pertembungan MB Selangor pada suatu ketika dahulu. Hal ini disebabkan Wan Azizah dilihat sebagai seorang individu yang mudah untuk dikawal. DAP tidak perlu lagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim. Mereka hanya perlu berhadapan dengan seorang pemimpin patung yang lemah dan lembab. 3. Kekayaan, kekuatan dan pengaruh DAP semakin kuat selepas mereka menguasai negeri Pulau Pinang yang kaya selama 2 penggal. Kekuatan ini memberi banyak ruang dan peluang untuk mereka untuk meluaskan kuasa dan pengaruh mereka. 4. DAP sangat marah terhadap PAS dan Hadi Awang kerana mengagalkan rancangan mereka untuk meletakkan Wan Azizah sebagai MB Selangor. Tanpa PAS dan Hadi Awang, Azmin Ali tidak akan sesekali menjadi MB Selangor. Peliknya, Azmin Ali tidak mengenang budi PAS dan ibaratkan kacang lupakan kulit apabila tidak berani berhadapan dengan DAP untuk memberi sokongan kepada Hadi Awang dan PAS yang suatu ketika dahulu menjadi kunci utama beliau menjadi MB. Keadaan ini hanya menandakan DAP begitu kuat sehingga Azmin Ali yang hebat juga tidak berani berhadapan dengan mereka. 5. Menurut Ketua Pemuda PAS Kuantan DAP telah memberi dana sokongan sebanyak RM 1.5 juta setahun kepada PASMA untuk memecahbelahkan PAS. Perjudian politik DAP adalah sekirannya PASMA mampu menggulingkan kesemua ulama dalam PAS maka DAP akan mampu menguasai parti PAS. Malangnya, rancangan DAP tidak kesampaian apabila kesemua mereka yang ditaja oleh DAP disingkirkan dalam pemilihan PAS yang terbaharu. 6. Namun begitu, LGE dan DAP bukanlah calang – calang orang. Mereka sudah menyedari bahawa perjudian ini bukanlah merupakan satu perjudian yang mudah. Oleh itu, semasa kempen dan pemilihan PAS, LGE dan DAP sengaja menyerang Hadi Awang dan kepimpinan ulama dalam PAS. Hal ini disebabkan Lim Guan Eng (LGE) dan DAP sememangnya mahu kesemua pemimpin dan kumpulan yang ditaja oleh mereka ditewaskan dalam pemilihan tersebut. Serangan terhadap ulama hanya akan menyatukan ahli PAS untuk menyingkirkan pemimpin – pemimpin tajaan DAP. 7. Mengapa DAP/LGE mahu mereka disingkirkan ? Keadaan ini akan memberi peluang untuk mereka untuk menamatkan kerjasaman dengan PAS dan menyingkirkan PAS daripada Pakatan pembangkang. Seterusnya , individu dan kumpulan yang ditaja oleh mereka akan terus disuntik dana untuk menubuhkan parti dan blok politik baharu untuk menjadi rakan komponen mereka. Dengan ini, DAP akan dapat menguasai dan mengawal kepimpinan Melayu dalam Pakatan Pembangkang. 8. Sekirannya Pembangkang berjaya merampas Putrajaya dan calon Perdana Menteri Melayu daripada Pakatan tersebut juga adalah alat kawalan dan boneka DAP. Dengan ini DAP akan menjadi lebih berkuasa seperti mana pihak Yahudi menguasai kesemua Presiden Amerika Syarikat. 9. Keadaan ini juga membuka ruang untuk memecahbelahkan undi masyarakat Melayu. Sekirannya terhadap parti politik Melayu/Islam baharu dalam Pakatan Rakyat maka kebarangkalian untuk pertembungan 3 pihak akan berlaku ( PAS VS UMNO VS Parti Baharu Melayu/Islam Pembangkang ). Keadaan ini akan memberi kelebihan lebih kepada DAP untuk terus memenangi kerusi terbanyak dan selepas ini mungkin lebih banyak dalam pakatan pembangkang mereka. 10. Ketika PAS vs UMNO undi Melayu sudah berpecah kepada 50% 50%. Bayangkan kini ada puak ketiga ? Berapakah lagi peratusan pengaruh Melayu dalam arena politik di negara kita ?

Kebergantungan Sesama Manusia

*Kebergantungan Sesama Manusia* Syurga *lelaki* pada perempuan iaitu ibu. Syurga *perempuan* pada lelaki iaitu *suami.* Sehebat-hebat *suami* kena patuh pada *ibu.* Sehebat-hebat *ibu* kena patuh pada *suami.* Masa *hidup* anak perlukan *doa ibubapa.* Masa *mati* ibubapa perlukan *doa anak.* Di *dunia* nasab itu pada *lelaki.* Di *akhirat* nasab itu pada *perempuan.* *Sehebat-hebat manusia*, bila mati dia tetap *perlukan orang lain* untuk *kebumi jenazahnya.* *Setinggi-tinggi ilmu* yang manusia ada. Dia tetap perlu *belajar* daripada seorang *guru.* Berapa jauh pun seorang manusia itu mengembara. Pasti yang dirindu adalah *keluarga.* Walau *sekaya* manapun seorang manusia. Dia tetap perlu *berurusan* dengan *orang lain...* Seorang *General Manager* tidak akan mampu menguruskan perjalanan premis tanpa *general worker.* Seorang *raja* tidak berkuasa tanpa ada *rakyat jelata.* Inilah manusia... *Lemah.* Walau sehebat mana pun kita didunia. Walau memegang pangkat dan darjat tertinggi. Taraf kita hanya seorang *"Hamba".* Lalu kenapa mahu rasakan kita adalah yang *terbaik* dan *terhebat*??? Bukankah itu hanya akan membawa kita kepada taraf *ujub, riak, sombong dan hina.* Ingatlah wahai diriku dan yang sedang membaca. Iblis itu terlaknat hanya kerana satu sifat. Iaitu *sombong dan merasa dia lebih baik.* Alangkah baiknya jika dunia yang sementara ini kita isi dengan kebahagian. Bahagia lihat orang lain bahagia. Derita bila lihat orang lain derita. Mahu yang terbaik buat diri sendiri dan orang lain. Ingatlah... Dunia untuk dikongsi bersama. Jika tidak, pasti Tuhan beri setiap seorang manusia itu sebuah bumi untuknya sendiri. Sesungguhnya Tuhan tidak pernah salah merencana sesuatu. Pasti ada hikmahnya. Sama2 kita renungkan...

SEMEMANGNYA DUIT KERAJAAN BUKAN DUIT RAKYAT

SEMEMANGNYA DUIT KERAJAAN BUKAN DUIT RAKYAT Oleh: Syed Atif bin Syed Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis. 1. Syabas kepada Ahli Parlimen Langkawi, YB Dato' Ir. Nawawi Ahmad, kerana mengetengahkan suatu isu penting yang tentunya dapat membina kefahaman rakyat, khususnya orang-orang muda, berkenaan batas-batas pertikaian terhadap pentadbiran kerajaan. 2. YB Ir Nawawi telah merumuskan secara tepat dan tajam bahawa gaji wakil rakyat dibayar dengan wang kerajaan; bukan wang rakyat. Ini bermakna, kerajaan merupakan suatu entiti yang berasingan. Apa yang perlu difahami, wakil rakyat dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan sebagai wakil mereka dalam kerajaan; dan kerajaan membayar gaji mereka. 3. Argumen bahawa duit kerajaan adalah duit rakyat semata-mata bersandar kepada sumber kewangan kerajaan yang sebahagiannya datang daripada bayaran cukai dan kutipan wang daripada rakyat. Jika argumen seperti ini dijadikan pegangan, bermakna wang kutipan jualan oleh peniaga-peniaga runcit di pasar, supermarket dan kedai tayar juga merupakan duit rakyat; kerana wang tersebut dikutip daripada poket rakyat. Mengapa "rakyat" tidak pernah memandai-mandai atau cuba menuntut saham dalam perniagaan mereka ini? 4. Rakyat membayar wang kepada peniaga-peniaga runcit dan mendapat barangan. Di sisi yang lain, rakyat membayar wang kepada kerajaan dan mereka memperolehi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan sebagai imbalan. Ini kerangka asas ekonomi dan kenegaraan yang sedia difahami oleh rakyat tebanyak, kecuali sekelompok rakyat yang sengaja cuba mencipta kekeliruan. 5. Hakikatnya, wang kerajaan sama sekali bukan wang rakyat. Tidak ada satu sen pun wang kerajaan boleh dibelanjakan sekalipun 30 juta rakyat Malaysia menurunkan tandatangan bersetuju membelanjakannya. 6. Sekali lagi, syabas dan tahniah YB Ir Nawawi. Kuala Kangsar 9 Jun 2016 PS: Nota diatas adalah reaksi pandangan penulis terhadap kritikan demi kritikan terhadap YB Ir Nawawi, antaranya di link berikut: https://m.malaysiakini.com/news/344545

Monday, June 6, 2016

Pengiktirafan UNESCO bukti kejayaan : Suhaila Shahrul Annuar dan Norrasyidah Arshad

PENGIKTIRAFAN Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam pelbagai bidang membuktikan usaha Malaysia menyediakan pendidikan bersifat inklusif kepada rakyat. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pendidikan inklusif sentiasa menjadi agenda keutamaan negara dalam melahirkan masyarakat berdaya saing, berpandangan jauh, saintifik serta progresif. Mahdzir yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, berkata antara pengiktirafan itu termasuk pelantikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim Presiden Majlis Antara Kerajaan Bagi Pengurusan Transformasi Sosial (MOST IGC) UNESCO. Simbol iktiraf "Pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur sebagai Presiden Suruhanjaya Sains UNESCO, menjadi simbol pengiktirafan serta keyakinan komuniti sains dunia terhadap kepemimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Hari UNESCO Malaysia 2016 di sini, semalam. Sementara itu, pada Program Sepetang Kepimpinan Sekolah Bersama Menteri Pendidikan di Sabak Bernam, Mahdzir berkata, beberapa penambahbaikan membabitkan infrastruktur dan fizikal 24 sekolah di daerah berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. "PPD Sabak Bernam kemukakan rancangan projek penambahbaikan serta pembangunan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Ada sudah diluluskan namun ada juga yang belum. "Antara projek yang sudah kita luluskan adalah projek pembinaan bangunan merangkumi enam hingga tujuh kelas selain pembaikan makmal," katanya Program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mustafa itu, dihadiri kira-kira 200 pengetua, guru besar dan Penolong Kanan. Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/158922

Tanpa ilmu akal terpenjara : Mohd Faiz Othman

KAEDAH berdakwah diterangkan sendiri oleh al-Quran iaitu secara berhikmah, dengan memberikan pengajaran yang baik. Melalui kaedah ini, akhirnya mesej dakwah dapat disampaikan dengan berkesan. Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu berkongsi kisah Nabi Ibrahim AS melalui ayat daripada Surah al-Anbiyaa'. Surah al-Anbiyaa' ini turun kepada Rasulullah SAW untuk mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi terdahulu tetap sama seperti Baginda SAW dari segi keadaan fizikal dan sifat kemanusiaannya. Syaari berkongsi ayat daripada Surah al-Anbiya' ayat 52 hingga 57 yang bermaksud "(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?". Mereka menjawab: "Kami mendapati datuk nenek kami menyembahnya". Ibrahim berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu berada dalam kesesatan yang nyata". Mereka bertanya: "Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang yang bermain-main sahaja?" Ibrahim menjawab: "(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dialah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu. "Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)". Bijaksana dalam berdakwah Menerusi ayat-ayat ini, Allah SWT menggambarkan beberapa elemen kebijaksanaan Nabi Ibrahim melalui cara dakwah yang disampaikan kepada kaumnya. Nabi Ibrahim apabila mendapati kaumnya menyembah sesuatu yang diperbuat daripada kayu yang dipahat, maka Baginda tidak terus membuat kesimpulan dan menghukum kaumnya. Sebaliknya, Nabi Ibrahim bertanya kepada kaumnya, "apakah tamasil (sesuatu yang diperbuat daripada kayu yang dipahat) ini?" Baginda ingin mendengarkan hujah kaumnya sebelum terus menghukum mereka sesat. Ini adalah pendekatan yang digunakan bagi mengajak kaumnya berfikir dan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa beliau terlebih dahulu menghukum. Seorang yang bijaksana seperti Nabi Ibrahim mengetahui kaedah dakwah yang berkesan adalah dengan mengemukakan soalan kepada kaumnya dan soalan itu sendiri mampu membuatkan kaumnya terperangkap. Syirik diwarisi zaman berzaman Persoalan yang dilontarkan oleh Nabi Ibrahim mengenai tamasil itu menggambarkan Baginda tidak mengiktiraf objek yang disembah oleh kaumnya itu dengan perkataan tuhan. Kaum ini akhirnya terkasima dengan hujah dan soalan dilontarkan Nabi Ibrahim. Jawapan diberikan kaum Nabi Ibrahim kepada Baginda telah meletakkan akal mereka keluar daripada kedudukan atas. Mereka memenjarakan akal mereka kerana bersandarkan kepada amalan nenek moyang mereka tanpa sebarang ilmu. Hakikatnya, inilah jawapan manusia zaman berzaman, syirik yang diwarisi tanpa hujah. Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/159585

PERPADUAN UMMAH: PATUTKAH RAJA-RAJA DILIBATKAN? Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

Semata-mata memandang dari sudut konsep raja keperlembagaan (constitutional monarchy) model British, tidak dapat hendak difikirkan satu alasan bagi menyokong penglibatan raja dalam usaha untuk menyatupadukan sekumpulan rakyat berasaskan bangsa dan agama. Bayangkan sekumpulan rakyat British keturunan Inggeris beragama Kristian gereja England menghadap Queen England meminta jasa baik baginda untuk 'menasihatkan' pemimpin-pemimpin Parti Konservatif, Parti Boroh dan Parti Liberal supaya bergabung atau berkerjasama dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang untuk mengelak kemungkinan rakyat British yang bukan berkulit putih dan bukan pengikut gereja England daripada mengambil alih Kerajaan Great Britain. Sekurang-kurangnya pada masa ini, hal seperti itu tidak dapat dibayangkan berkemungkinan akan berlaku di England, kerana “ancamannya” masih belum nampak. Maka ahli politik, pakar undang-undang, ahli sejarah dan cendikiawan akan berhujah bahawa cubaan berbuat demikian adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima. Saya dapat bayangkan hujah mereka adalah bahawa rakyat British berjuang dan berperang beratus-ratus tahun untuk memisahkan kuasa politik daridapa raja, untuk memberi kuasa memerintah mengikut kehendak majoriti (demokrasi) kepada rakyat melalui pilihanraya dan parlimen, bagaimana sekarang mereka hendak berpatah balik pula? Mereka akan berhujah bahawa rakyat adalah bebas menubuh parti politik dan pertubuhan seperti yang dikehendaki mereka dengan tujuan yang dikehendaki oleh mereka. Jika akibatnya, rakyat daripada sesuatu kumpulan akan berpecah belah, malah kehilangan kuasa politik itu adalah masalah politik, hak rakyat menentukannya, bukan hak raja untuk campur tangan dan menentukannya. Dengan campur tangan, raja melakukan sesuatu yang berlawanan dengan peranannya sebagai raja keperlembagaan, malah melanggar prinsip demokrasi. Mereka akan merujuk kepada perjanjian-perjanjian, akta-akta parlimen dan conventions mengenainya. Mereka akan merujuk kepada konvensyen-konvensyen hak asasi manusia (human rights) yang menjamin kebebasan bercakap, berorganisasi dan lain-lain. Saya tidak hairan jika, di Malaysia pun, terdapat orang-orang, terutama sekali jika mereka mempunyai kepentingan diri, yang akan berhujah demkian. Mereka akan berkata kita telah menerima prinsip raja keperlembagaan model British, maka kita kenalah mengamalkannya seperti yang dilakukan di Britain. Noktah. Dalam kertas ringkas ini, saya akan menghujahkan bahawa keadaan di Malaysia (khususnya mengenai hubungan orang Melayu dengan Raja-Raja Melayu) adalah berbeza daripada keadaan di Britain dan hal keadaan tempatan itu mestilah diambil 2 kira dalam menentukan corak raja keperlembagaan kita. Sebagai misalah, corak raja keperlembagaan Thailand juga berlainan: raja memain peranan politik yang lebih aktif, dan nampaknya itu sahaja caranya untuk ‘mematangkan” ahli-ahli politik di negara itu. Kita tidak boleh mengatakan bahawa sistem Thailand tidak betul. Itulah yang diperlukan di Thailand. Kembali ke negara kita, pertama, sepanjang sejarah pemerintahan raja-raja Melayu, raja adalah “payung” atau pelindung rakyatnya yang memberi ta’at setia kepadanya. Raja adalah tempat rakyat mengadu dan titah raja dijunjung. Kedua, walaupun British menjajah Semenanjung Tanah Melayu, mereka tidak mengubah bentuk hubungan raja-raja Melayu dengan “rakyatnya” (the Rulers and their subjects). Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pelindung hak-hak rakyatnya dan kedudukan agama Islam tidak disentuh. Perjanjian penubuhan Federation of Malaya pun mempunyai peruntukan seperti itu Ketiga, Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peruntukan-peruntukan sedemikian. Secara sepintas lalu: (a) Selepas menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, Perkara 3(2) mengisytiharkan bahawa “kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat;....” Di negeri-negeri tanpa raja, Yang Di Pertuan Agong adalah ketua agamanya. (b) Perkara 153 (1) memperuntukkan bahawa adalah “menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.” (c) Perkara 153 (2) mengulangi bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalanakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang diPertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam…..biasiswa……..” (d) Perkara 153 (3) menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatanjawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa…….memberikan apaapa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya ……atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian 3 biasiswa………dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.” Perhatikan, Perkara 3 melibatkan raja-raja dalam hal agama Islam. Kita mesti faham bahawa tugas raja sebagai ketua agama Islam bukanlah seperti seorang Khalifah AlRasyidin yang mempunayi kuasa sebagai hakim, mufti dan apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam. Tugas-tugas itu telah diberi kepada badan-badan tertentu. Tetapi, sebagai ketua agama Islam, raja-raja semestinya, secara umum, mempunyai peranan bagi menjaga kepentingan umat Islam dan kedudukan agama Islam. Jika tidak tidak ada maknanya raja-raja dijadikan ketua agama Islam. Perkara 153 bukan sekadar mengatakan bahawa keistimewaan hendaklah diberi kepada orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dalam perkara-perkara tertentu. Ia menjadikan tanggungjawab Yang diPertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa mereka. Kalusa (2) dan (3) pula menyatakan apa yang baginda patut lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab keperlembagaan itu. Maka, Yang di-Pertuan Agong bukanlah seorang raja yang “berkecuali” sehingga tidak perlu mengambil berat tentang hal agama dan umat Islam dan kedudukan orang Melayu. Baginda dipertanggungjawabkan oleh Perlembagaan untuk melindunginya. “Melindungi” samalah dengan menjaga supaya kedudukan itu tidak tergugat. Maka, jika timbul sesuatu keadaan yang menggugat hak dan kedudukan orang Melayu, umat Islam dan agama Islam, semestilah tidak ada salahnya bagi orang Melayu dan umat Islam untuk menghadap baginda untuk mempersembahkan hal keadaan itu kepada baginda, dan tidak ada salahnya bagi baginda, sama ada secara bersendirian atau melalui Majlis Raja-Raja, menyatakan pandangan baginda kepada pihak-pihak berkenaan, malah “menasihati” mereka untuk mengatasi masalah itu. (Hujah ini terpakai juga kepada raja-raja Melayu di negeri masingmasing.) Sekarang kita lihat resolusi Multaqa Perpaduan Ummah bertarikh 18 Mai 2016. Perlu diambil perhatian bahawa raja-raja adalah salah satu institusi yang akan ditemui oleh wakil-wakil Multaqa itu. Yang lainnya termasuklah tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Mengenai raja-raja, resolusi itu menyebut: “a. Menghadap Duli-Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memohon Baginda-baginda semua campur tangan atas sifat sebagai payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.” Dua perkara perlu di ambil perhatian. Pertama, ia meminta raja-raja “campur tangan”. Kedua, asasnya ialah sebagai “payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.” Ertinya, Multaqa itu bersandar kepada hubungan tradisional antara raja-raja Melayu dan rakyatnya yang saya sebut di awal kertas ini. Jika itulah hasratnya, saya tidak nampak apa salahnya. Bagaimana raja-raja akan “campur tangan”, jika mereka bersetuju berbuat demikian, mengikut hemat saya, adalah seperti yang saya sebut di atas, ia itu dengan menyatakan pandangan mereka atau menasihati secara bersendirian atau melalui Majlis Raja-Raja. Sama 4 ada ia akan berkesan atau tidak untuk mencapai hasrat yang dikehendaki terserahlah, terutama sekali kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam. Ini membawa kita kepada soalan yang saya kemukakan di Multaqa itu: Adakah mereka (tokoh-tokoh utama parti politik Islam) sanggup mengorbankan kepentingan diri, jika perlu, untuk mengelak mala petaka yang lebih besar itu?

Rang Undang-Undang Persendirian PAS: Apa tujuannya?: Tun Abdul Hamid Mohamad

SAYA tidak kisah mengenai aspek politik berkaitan dengan rang undang-undang persendirian PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dibentangkan oleh Presidennya di Parlimen. Ahli-ahli politik mempunyai agenda mereka sendiri dalam mencadangkan, menyokong atau menentang sesuatu rang undang-undang yang mungkin wajar di sisi undang-undang, atau tidak. Apa yang penting bagi saya ialah bahawa ahli-ahli politik dan juga orang ramai, perlu tahu mengenainya dan kesannya dengan betul, jika diluluskan. Jika tidak, ahli-ahli politik akan membuat keputusan sama ada untuk mencadangkan, menyokong atau menentangnya berdasarkan persepsi yang salah dan seterusnya akan mengelirukan orang ramai. Mari kita mula dari titik permulaan: Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang jenayah adalah perkara persekutuan, yang bererti bahawa ia terletak dalam bidang kuasa Parlimen persekutuan untuk membuat undang-undang mengenainya. Apakah "undang-undang jenayah" tidak ditakrifkan. Walau bagaimanapun, untuk memudahkan perbincangan dalam artikel ringkas ini, kesalahan yang terkandung dalam Kanun Keseksaan semestinyalah "undang-undang jenayah". Jika tidak, apa lagi? Perhatikan bahawa Kanun Keseksaan telah wujud sejak tahun 1936 dan berkuat kuasa pada masa Perlembagaan digubal. Oleh itu kesalahan bunuh, rogol, liwat dengan apa jua nama ia dipanggil, mencuri, merompak, menyebabkan kecederaan, malah segala kesalahan yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain, adalah "undang-undang jenayah". Undang-undang itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam, jika tidak, ia adalah tidak keperlembagaan (unconstitutional) atas alasan diskriminasi kerana bertentangan dengan Perkara 8. Undang-undang jenayah ditadbir oleh mahkamah sivil. Hanya Parlimen persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenainya. Perlembagaan juga membuat peruntukan yang memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang berkenaan dengan: "......pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;....." Perhatikan syarat yang dinyatakan: 1. Kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam, 2. Terhadap perintah agama itu 3. Kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Terdapat satu syarat lagi: ia tidak boleh bertentangan dengan peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan jenis dan had hukuman yang undang-undang Negeri boleh membuatnya. Jadi, Dewan Undangan Negeri hanya boleh membuat undang-undang yang memenuhi semua empat syarat itu. Jika tidak, ia adalah tidak keperlembagaan. Mari kita merujuk kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan). Adalah naif untuk tidak mengambil perhatian bahawa selama beberapa dekad PAS telah memainkan isu pelaksanaan hudud sebagai objektif utama, jika bukan satu-satunya objektifnya. Seawal tahun 1993, Kerajaan PAS Negeri Kelantan telah cuba melaksanakan hudud dengan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan). Saya telah berkata dengan tegas bahawa undang-undang itu tidak keperlembagaan kerana ia melanggar syarat yang dinyatakan di atas. PAS seolah-olah menerima pandangan saya dan mula bercakap mengenai mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen persekutuan di bawah Perkara 76A(1). Kita menyangka bahawa tujuan PAS ialah untuk mendapatkan kebenaran daripada Parlimen persekutuan bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan membuat undang-undang mengenai perkara-perkara (kesalahan) yang terletak di bawah Senarai Persekutuan. Tetapi, rupa-rupanya tidak. Sebaliknya, PAS sedang berusaha untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan dalam undang-undang Negeri yang dibuatnya. Sekarang, mari kita lihat pindaan yang dicadangkan itu. Malangnya saya tidak berjaya mendapatkan rang undang-undang yang dicadangkan itu. Apa yang saya berjaya dapat daripada Hansard adalah usul pindaan yang dicadangkan itu. Pindaan itu bertujuan untuk menggantikan seksyen 2 Akta berkenaan dengan seksyen 2 dan 2A baru. Seksyen 2 baru memperuntukkan: "2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan." Seksyen 2A baru memperuntukkan: "2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati." Jelas sekali bahawa seksyen 2 baru itu tidak memperuntukkan apa-apa perkara baru. Ia hanya mengulangi undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun, bagi Menteri-Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa rang undang-undang itu hanya untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak ada kena mengena dengan agenda hudud PAS, biarlah saya mengingatkan mereka bahawa mereka akan membuat satu kesilapan besar lagi. Pemimpin-pemimpin UMNO telah tersilap menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana takut dituduh "kafir" kerana "menentang hukum Allah". Sekiranya mereka membaca karya-karya saya yang telah saya naikmuatkan di laman web saya, mereka boleh hanya berkata, "Kami tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang itu (bukan menentang hudud atau hukum Allah) kerana ia (Rang Undang-Undang itu) bercanggah dengan perlembagaan (tidak keperlembagaan)." Yang anehnya ialah kedua-dua PAS dan UMNO sama-sama telah salah dinasihatkan (wrongly advised) mengenai undang-undang. PAS telah membuat satu kesilapan yang berlangsung selama 20 tahun (dan berterusan). Kemudian pemimpin-pemimpinnya tersedar selepas ahli Parlimen PAS menghadiri ceramah saya mengenai hudud. Mereka nampak kesilapan mereka dan cuba mengatasinya. Mereka hampir melakukannya dengan betul tetapi tersilap lagi. Kini mereka cuba meneruskan perjalanan mereka, tanpa berkata demikian, dan pemimpin-pemimpin UMNO seolah-olah berminat untuk menyertai kafilah mereka! Jangan salah faham, saya tidak kisah jika pemimpin-pemimpin UMNO, menyedari apa yang mereka lakukan, berkata: "UMNO tidak membantah usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan" atau "UMNO akan menyokong langkah PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan." Itu adalah prerogatif UMNO. Tetapi, saya tidak suka melihat pemimpin UMNO membuat kesilapan lagi, sama ada kerana mereka tidak memahami isu ini atau kerana mereka telah salah dinasihatkan. Kita lihat pula seksyen 2A baru yang dicadangkan itu. Perbezaan yang paling ketara antara pindaan yang dicadangkan dengan seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa undang-undang yang ada sekarang mengandungi proviso (syarat) seperti berikut: "Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut." Dalam erti kata lain, kesan memansuhkan proviso dalam seksyen 2 yang ada sekarang adalah bahawa tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah boleh diberi kuasa untuk mengenakan semua hukuman yang diperuntukkan oleh Syariah (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas kecuali hukuman mati. Itulah kesannya. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu faham sebelum membuat keputusan mereka untuk menyokong pindaan yang dicadangkan itu, atau sebaliknya. Memanglah, selepas pindaan itu berkuat kuasa pun, Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman-hukuman itu bagi kesalahan-kesalahan di bawah Senarai Negeri. Ini kerana, kesalahan-kesalahan yang tidak terletak di bawah Senarai Negeri adalah perkara-perkara persekutuan dan Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang mengenainya dan kes-kes itu tidak akan dibawa ke Mahkamah Syariah. Demikianlah undang-undangnya. Tetapi, adakah Kerajaan PAS Kelantan akan menghormati bidang kuasa persekutuan? Dewan Undangan Negeri Kelantan, sama ada kerana kejahilan, salah dinasihatkan atau tidak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan, telah memilih untuk tidak mengendahkannya dua kali, sekali pada tahun 1993 apabila ia meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dan sekali lagi pada 2015. Adakah ia akan melakukannya sekali lagi? Jika ia melakukannya, ia berbuat demikian atas risiko sendiri: undang-undang itu tidak keperlembagaan. Tetapi ahli-ahli UMNO di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan akan mengulangi kesilapan yang sama yang mereka telah lakukan dalam tahun 2015 jika mereka menyokong percubaan baru PAS untuk meluluskan undang-undang yang sama sekali lagi, setelah dua kali sebelumnya tidak mengikut perlembagaan. Katakanlah PAS berjaya mendapat rang undang-undang persendirian itu diluluskan oleh Parlimen, adakah PAS bebas untuk melaksanakan Enakment Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015? Jawapannya ialah "Tidak". Undang-undang itu tidak keperlembagaan apabila ia dibuat dan ia kekal tidak keperlembagaan selama-lamanya. Seorang bayi yang mati semasa dilahirkan tidak boleh dihidupkan semula. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) dan 2015 tidak keperlembagaan atas sebab-sebab berikut: 1. Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menceroboh ke dalam bidang kuasa Parlimen persekutuan dengan membuat undang-undang berkenaan "udang-undang jenayah" yang berada di bawah bidang kuasa parlimen Persekutuan. 2. Enakmen itu melanggar peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Rang undang-undang persendirian itu bertujuan untuk membuang sekatan kedua. Namun begitu, ia tidak boleh dilakukan secara retrospektif untuk mengesahkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 Kelantan kerana, pada masa Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang itu, ia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Di satu ceramah saya kepada peserta-peserta yang berpendidikan Syariah, termasuk dari Kelantan, saya mengajukan soalan berikut kepada mereka: Menurut mazhab Shafie, seorang wanita hanya boleh berkahwin dengan persetujuan wali. Katakanlah seorang Qadhi mengahwinkan seorang perempuan tanpa mendapat persetujuan walinya terlebih dahulu dan kemudian mencari wali untuk mendapatkan persetujuannya, adakah perkahwinan itu sah apabila wali (kemudiannya) memberikan persetujuannya? Kesemua mereka ketawa. Mereka memahaminya. Sekatan yang lebih serius, yang lebih sukar untuk diatasi dan tiada usaha dibuat untuk mengatasinya ialah sekatan keperlembagaan yang tersebut di atas. Jadi, jika rang undang-undang pindaan yang dicadangkan itu diluluskan oleh Parlimen persekutuan, apa yang PAS boleh lakukan adalah untuk mendapatkan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan undang-undang baru yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang bukan "undang-undang jenayah" (yang terletak di bawah bidang kuasa Parlimen persekutuan untuk membuat undang-undang), sebagai contoh, zina, menuduh seorang wanita berzina, murtad, meminum minuman yang memabukkan dan sebagainya. Kesalahan lain yang mana terdapat peruntukan di dalam undang-undang persekutuan adalah perkara persekutuan dan di luar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang mengenainya. Jadi, PAS harus ingat bahawa walaupun rang undang-undang persendirian itu diluluskan, Dewan Undangan Negeri Kelantan hanya boleh membuat undang-undang (yang baru) berkenaan dengan beberapa kesalahan yang dinyatakan di atas dan memperuntukkan hukuman hudud baginya, selain daripada hukuman mati. Jadi, hukuman rejam dan salib tidak boleh diperuntukkan. Kita tertanya-tanya mengapa PAS bersedia untuk membuat pengecualian berkenaan dengan dua hukuman itu. Adakah mereka juga merasakan bahawa hukuman-hukuman itu sudah "tidak sesuai" lagi? Semua peruntukan lain dalam Enakmen Kanun Jenayah Syari'ah (II) dalam (1993) 2015 mengenai hudud, qisas dan ta'zir berada di luar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang. Kesalahan-kesalahan itu adalah "undang-undang jenayah", perkara persekutuan. Undang-undang baru yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, jika dibuat, akan terpakai hanya kepada orang-orang Islam di Kelantan dan akan ditadbir oleh Mahkamah Syariah. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu memahami semua ini. Jika tidak, mereka mungkin akan membuat kesilapan lagi. Bagaimana pula dengan bantahan yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin bukan Islam daripada parti-parti komponen Barisan Nasional? Sekali lagi, saya tidak kisah mengenai politik mereka. Jika mereka berfikir untuk kepentingan politik parti mereka untuk membantah, terserahlah kepada mereka untuk membantah. Tetapi, apabila mereka mula memberikan sebab kerana "ia akan menguntungkan orang Islam", saya perlu menjawab. Pertama, sekali lagi, mereka memikirkan soal "untung rugi" atau "takut rugi/kalah" (kiasu). Mereka takut bahawa orang Islam akan mendapat manfaat (untung) dan oleh itu, mereka akan rugi. Tetapi bagaimana? Undang-undang itu, jika berkuat kuasa sekalipun, hanya akan terpakai kepada orang Islam. Jadi, jika seorang bukan Islam melakukan zina dengan seorang Islam, orang Islam itu akan dihukum mengikut undang-undang itu dan orang bukan Islam bebas. Siapa yang "untung"? (Untuk mengetahui lebih lanjut, sila lihat kertas/ceramah saya mengenai hudud, terutamanya saya keynote address "Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (hudud, qisas, ta'zir) di Malaysia - Prospek dan Cabaran disampaikan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 1 April 2015 yang boleh didapati di laman web saya.) Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/160142

UMNO tetap teguh tanpa Mahathir : Shahbudin Embun

TIDAK ada yang luar biasa dan mungkin sesuatu yang sudah dijangka. Begitulah yang dikatakan oleh beberapa rakan penulis apabila kami berborak sambil menikmati secangkir kopi ketika membincangkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar UMNO. Adakah tindakan tokoh bergelar seorang negarawan ini akan menjejaskan UMNO? Jika dilihat daripada ketokohan dan peranan yang dimainkan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, pastinya ini satu tamparan buat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apatah lagi, alasan yang digunakan oleh Mahathir ialah sebagai tanda protes terhadap kepemimpinan Najib. Perasaan tidak puas hati Mahathir terhadap Najib bukan rahsia lagi. Ahli UMNO perlu bersatu Berbalik kita kepada persoalan, adakah UMNO akan terjejas? Jawapan kepada persoalan yang dikemukakan ini sebenarnya terletak pada bahu pucuk pimpinan serta ahli UMNO sekarang yang sama-sama berjuang dengan Najib. Jika semua ahli UMNO terus berdebat tanpa berhenti dan meramalkan apa yang mungkin berlaku serta alpa dengan perjuangan parti, maka sememangnya parti ini akan terjejas kerana kita hanya akan dengar kata-kata tanpa melihat sebarang tindakan untuk memperkasakan parti. Namun, jika semua ahli UMNO terus berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, maka UMNO tetap utuh dan tidak terjejas dengan apa pun tindakan Mahathir. Bahkan ada yang berpendapat, UMNO akan lebih padu kerana virus yang menyerang UMNO dari dalam sudah berhenti, sekali gus menguatkan kembali sistem ketahanan UMNO yang agak goyah pada suatu ketika dahulu. Semangat solidariti diutama Kita tidak boleh meramalkan apakah tindakan Mahathir selanjutnya. Beliau seorang pakar atau sifu apabila mencorak langkah dan merancang taktikal dalam permainan politik yang penuh dengan sepak terajang. Suara beliau pasti akan lebih lantang dan lebih bebas untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya. Sebagai sebuah negara demokrasi, itu adalah haknya. Namun, kelantangan, ketegasan dan kekerasan suara itu boleh dilentur dan diselubungi dengan pendirian dan semangat solidariti ahli UMNO yang terus berdiri menyokong Najib. Itu sebabnya sikap Najib yang tenang dan sabar dalam menghadapi isu ini perlu dipuji. Beliau tidak membuat serangan balas, bahkan lebih menumpukan kepada agenda terus membangunkan negara. Penulis tidak berminat untuk mengorek segala kejayaan dan kegagalan yang dilakukan oleh Mahathir ketika beliau memimpin UMNO dan negara dahulu. Segala yang berkaitan dengan isu ini telah menjadi pengetahuan ramai dan biarlah dibincangkan dalam forum yang berbeza. Apa yang pasti, jasa Mahathir selama ini akan terus dikenang. Wajar hormat keputusan Sebab itulah juga keputusan beliau untuk meninggalkan UMNO perlu dihormati. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati tindakan Mahathir dan masih berharap bekas Presiden UMNO ini mempertimbangkan semula keputusannya. Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya sentiasa mempertahankan dan mengukuhkan solidariti UMNO dengan terus memberikan kepercayaan kepada Najib. Faktor kepercayaan ini penting kerana kehebatan Mahathir ketika beliau berada di puncak kepemimpinan dahulu juga disebabkan sokongan tidak berbelah-bahagi serta kepercayaan rakyat dan ahli UMNO kepadanya. Seperti Mahathir di zamannya, Najib juga memerlukan sokongan padu seperti itu untuk terus memimpin negara ke arah kejayaan lebih gemilang. PM utamakan rakyat Semakin hari rakyat semakin yakin bahawa Najib mampu mencorakkan masa depan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Lihat sahaja pelan transformasi yang sedang diusahakan oleh beliau. Najib sedar ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Namun, demi kesejahteraan rakyat, kestabilan politik serta kejayaan ekonomi, pelan ini perlu dilaksanakan dengan sokongan dari kita semua. Perbincangan mengenai tindakan Mahathir dan implikasinya kepada UMNO akan terus dibincangkan oleh masyarakat, khasnya dalam kalangan ahli UMNO. Namun, seperti penulis jelaskan, jika ahli UMNO terus berbahas perkara ini tanpa mengambil inisiatif memperkasakan parti, ia akan merugikan UMNO sendiri. Ramai yang tahu lagu My Way nyanyian Frank Sinatra adalah lagu kegemaran Mahathir. Mungkin sudah sampai masanya Mahathir membiarkan Najib bersama barisan pimpinannya memimpin negara dengan lagu dan irama baharu, sesuai dengan era sekarang yang jauh bezanya dengan zaman Mahathir memerintah dahulu. Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/130179

zuhud

Ringgit Mata Wang Paling Kukuh

KUALA LUMPUR - Ringgit mencatatkan pengukuhan terbaik dalam kalangan mata wang negara-negara membangun apabila dibuka RM4.0935 pada sesi pagi ini ekoran jangkaan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menangguhkan kenaikan kadar faedahnya. Mata wang negara itu pulih daripada RM4.1455 berbanding dolar AS yang dicatatkan pada Jumaat lalu. Peratusan peningkatan oleh ringgit itu adalah sekitar 1.4 peratus iaitu yang terbaik sejak 30 Mac lalu. Statistik jumlah pekerjaan di AS yang lemah dilaporkan pada Jumaat lalu dilihat bakal menjadi penilaian oleh Rizab Persekutuan AS untuk menangguhkan kadar faedahnya. Sejak awal bulan lalu, nilai mata wang negara-negara mengalami kemerosotan disebabkan spekulasi AS akan menaikkan kadar faedahnya yang membuatkan pelabur-pelabur antarabangsa memindahkan dana-dana mereka ke pasaran AS.

#PRKKualaKangsar : ‘Mastura Lebih Kuale Daripada Orang Kuale’, kata Mohd Kamil

KUALA KANGSAR - Selama hampir tiga dekad menetap di Kuala Kangsar, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid boleh dikategorikan sebagai salah seorang penduduk jati parlimen berkenaan. Menurutnya, Pemangku Ketua Bahagian UMNO Kuala Kangsar, Datuk Mohd. Kamil Shafie, isteri Allahyarham Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar itu 'duduk' di Kuala Kangsar hampir tiga dekad yang lalu. "Datin Mastura lebih Kuale daripada orang Kuale.
"Sejak dia (Datin Mastura Mohd. Yazid) berkahwin dengan arwah dan membantu arwah sejak zaman pemuda sampailah jadi ahli parlimen jadi dia (Mastura) orang kuale lah. "Cuba check antara calon-calon yang bertanding siapa yang mengundi di sini? Saya rasa dia (Mastura) sahaja jadi pengundi sini..maknanya dia orang kuale...malah dia lebih kuale dari orang kuale yang mengundi di luar," ujarnya. Mohd. Kamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Manong berkata demikian mengulas ramai mempertikaikan Mastura anak kelahiran Negeri Sembilan dan bukan Kuala Kangsar yang tidak wajar menjadi calon. Apa yang berlaku, katanya, perlu difikirkan secara matang dan menganggap ia rezeki kepada Mastura meneruskan perjuangan arwah suaminya. "Bukan maknanya UMNO Kuala Kangsar tidak ada tokoh lain tetapi menghormati beliau sebagai orang yang sama-sama berjuang dengan arwah Datuk Wan," katanya. Satu lagi, katanya, pengundi di Kuala Kangsar mengamalkan budaya politik matang sejak dahulu lagi. Sebelum arwah Wan Mohamad, kesemua ahli parlimen bukan anak tempatan termasuk Tan Sri Rafidah Aziz selama lapan penggal, katanya. Mengenai keadaan UMNO selepas pemilihan Mastura sebagai calon, Mohd. Kamil menegaskan, keadaan parti adalah solid dan bahagian berjaya mengawal keadaan. "Cuma ada sikit-sikit (bising) itu biasalah, ia tidak dapat dielakkan," ujarnya.