Wednesday, July 8, 2015

Tindakan Tegas Pada Pasukan Penyiasat Khas Yang Berkhianat

KUALA LUMPUR - Pasukan Penyiasat Khas perlu menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti siapakah dalang yang membocorkan maklumat siasatan kepada The Wall Street Journal (WSJ). Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut menggesa Peguam Negara, mengambil tindakan tegas ke atas anggota pasukan itu yang berkhianat dalam menjalankan tugas. Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Johor dan mantan Timbalan Menteri Pendidikan menyuarakan kebimbangan sambil berkata kecuaian itu boleh membawa kesan tidak adil dan fitnah kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak. “Tindakan tegas perlu diambil kerana pembocoran maklumat ini telah mengakibatkan spekulasi negatif terhadap imej Dato’ Sri Najib Tun Razak” katanya dalam satu kenyataan media. Menurut Mohd Puad lagi, Pembocoran maklumat ini juga boleh menjejaskan keseluruhan penyiasatan kerana terdapat individu yang tidak lagi bersifat ‘impartial’(tidak berat sebelah). Beliau turut berasa hairan mengapa Pasukan Penyiasat Khas ini menumpukan siasatan kepada akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan Pasukan Khas ini sepatutnya mendapatkan testimoni terlebih dahulu daripada pihak WSJ sebagai pihak yang menyebarkan tuduhan. Mohd Puad berkata, Peguam Negara perlu bertanggungjawab di atas kebocoran ini dan perlu menafikan dia terlibat dengan kebocoran ini. “Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Wall Street Journal boleh menerbitkan sebuah artikel berkaitan dokumen Pasukan Peyiasatan Khas kurang daripada 24 jam selepas serbuan dibuat.” Jelas Mohd Puad Tidak lama selepas kenyataan mengenai enam akaun yang dibekukan dibuat, Wall Street Journal sekali lagi telah menerbitkan dokumen-dokumen berkaitan. Terdahulu, Wall Street Journal berkata terdapat dua jenis dokumen yang telah mereka terima daripada Pasukan Penyiasat Khas Kerajaan di Malaysia. Yang pertama adalah ‘remittance document’ dan yang kedua adalah dokumen pasukan penyiasatan tersebut. ‘Remittance document’ cuma menyebut nombor akaun AmIslamic Bank yang tidak mempunyai nama sesiapa pun. Tambah beliau lagi, dokumen terbocor kepada WSJ adalah dokumen yang masih di dalam siasatan yang tidak lagi tahu kesahihannya atau kebenarannya. “Pihak berkuasa juga perlu menyiasat sama ada wujud konspirasi terancang untuk menggulingkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik terutama dalang utamanya.” Katanya.

No comments:

Post a Comment