Thursday, July 9, 2015

Pembangkang Mula Bimbang, Pembohongan Terbongkar

Pihak pembangkang, khusus DAP dan PKR yang semakin terdesak akibat kehancuran Pakatan Rakyat kini berusaha mengalihkan perhatian umum terhadap kemelut yang melanda mereka. Kedua-dua parti itu tidak mahu konflik pakatan pembangkang terus menjadi perdebatan umum atau diperkatakan terlalu lama kerana dikhuatiri akan menghilangkan keyakinan rakyat yang menyokong mereka. "Mesyuarat tergempar" oleh ahli Parlimen daripada parti pembangkang yang diatur di luar bangunan Parlimen untuk membincangkan tuduhan media antarabangsa terhadap kepimpinan negara adalah satu usaha untuk menarik perhatian rakyat. Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sebelumnya menyepi diri dan dilihat gagal menyelesaikan konflik dalam pakatan bagaikan mendapat "suntikan baru" untuk "menyelesaikan isu negara" yang dicipta sendiri oleh mereka bersama media antarabangsa dan media propembangkang. Tidak cukup dengan itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata parti itu akan memfailkan saman bagi mencabar kemenangan wakil-wakil rakyat UMNO dalam PRU-13 kerana mendakwa dana itu digunakan untuk kempen pilihanraya. Pembangkang sengaja menyambung isu yang timbul dan mendahului siasatan yang dijalankan Pasukan Petugas Khas untuk mencari bukti berhubung dakwaan penyaluran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Perdana Menteri. Kumpulan itu seolah-olah mahu "mengganggu" pula siasatan Pasukan Petugas Khas yang terdiri Pejabat Peguam Negara, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mencari bukti terhadap dakwaan yang dibuat oleh The Wall Street Journal dan dilaporkan oleh Sarawak Report. Media barat juga memainkan peranan semasa dan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan digugurkan daripada Kabinet pada 1998. Sasaran utama ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kepimpinan kerajaan pada waktu krisis kewangan melanda Asia termasuk di Malaysia dan Indonesia. Sumber berita yang tidak sahih atau dikelirukan dijadikan peluru oleh pemimpin pembangkang yang dipercayai bersekongkol dengan beberapa individu berkepentingan dalam negara. Media sosial dan media antarabangsa digunakan sebagai saluran utama untuk menjatuhkan kepimpinan negara yang dipilih secara demokratik. Kini satu demi satu pembohongan terbongkar. Terdapat fakta dan dokumen perbankan yang diubah suai. Pasukan penyiasat pula tidak menolak kemungkinan ada pihak yang disyaki menjual maklumat perbankan dan berlaku pembocoran dokumen yang digunakan untuk siasatan. Terdahulu Perdana Menteri yang bertekad mahu membersihkan namanya telah memulakan langkah awal untuk mengambil tindakan perundangan terhadap media antarabangsa yang terbabit. Kita tunggu apa lagi helah dan tuduhan lain yang akan dicari oleh media antarabangsa dan portal propembangkang dalam gerakan menjatuhkan kepimpinan kerajaan. Agenda utama serangan bertali arus itu memang dirancang ketika suasana ekonomi negara negara tidak begitu baik. Media asing dan pembangkang mengambil kesempatan dengan kenaikan harga barang dan bahan bakar untuk menyemarakkan api kemarahan rakyat dengan harapan rakyat bangkit menentang kerajaan. Hakikat itu diperkukuhkan apabila Dr. Mahathir awal lagi telah pun meramalkan BN akan kecundang dalam PRU akan datang jika Najib tidak berundur. Teguran dan serangan peribadi Dr. Mahathir juga membuka ruang yang lebih luas kepada pembangkang dan media propembangkang untuk menyerang Najib dan keluarganya. Seperti juga Dr. Mahathir, Perdana Menteri juga tidak berseorangan dalam menghadapi badai serangan liar itu kerana barisan Kabinet dan pimpinan parti termasuk dua pemimpin utama PAS turut mempertahankan beliau. Perdana Menteri dalam reaksi tegasnya menyatakan bahawa beliau tidak akan mengkhianati rakyat yang memberi kepercayaan kepadanya. Najib juga memberi komitmen akan menegakkan kebenaran dengan membuktikan segala tuduhan terhadapnya tidak benar. Kebiasaannya pihak menjalankan kempen memfitnah itu kemudian akan mencari dan mencipta isu lain yang boleh dimanipulasikan setelah apa yang didakwa sebelumnya tidak benar. Serangan untuk menjatuhkan Perdana Menteri ini dilakukan begitu tersusun selain mendapat sokongan padu parti pembangkang terutama DAP dan PKR hingga kepimpinan parti itu lupa bahawa krisis yang melanda pakatan juga bertambah parah. Ia ibarat api di dalam sekam dan bom jangka yang akan meletup bila-bila masa sahaja. Walaupun usaha mensabotaj kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi dan perpaduan, usaha mensejahterakan rakyat tetap diteruskan walaupun dalam kesulitan. Tuhan Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. KepadaNya diserahkan kerana doa mereka yang terniaya akan segera dimakbulkan, apatah lagi di penghujung bulan yang penuh keberkatan ini. Oleh: Elyana SS

No comments:

Post a Comment