Thursday, September 5, 2013

Turun subsidi bahan api, cara kurangkan defisit

Keputusan merasionalisasikan subsidi bahan api merupakan usaha permulaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara, kata ketua ekonomi Malaysia Rating Corp (MARC), Nor Zahidi Alias. Beliau berkata penurunan subsidi sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha menangani sebahagian daripada beban kewangan yang kian meningkat. "Penurunan subsidi itu juga akan mengurangkan tekanan daripada agensi penarafan antarabangsa yang sentiasa memantau secara dekat rancangan jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan," kata beliau kepada Bernama. Semalam, kerajaan telah menurunkan subsidi bahan api dengan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, berkuat kuasa hari ini. Langkah itu dijangka dapat menjimatkan RM1.1 bilion untuk tahun ini dan RM3.3 bilion setiap tahun untuk kerajaan, yang sekali gus boleh membantu mengurangkan defisit fiskalnya. Sebelum pengumuman kenaikan harga bahan api, kerajaan telah memperuntukkan RM24.8 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini. Nor Zahidi berkata dengan langkah-langkah ini, seperti garis panduan pinjaman lebih ketat yang telahpun diambil untuk mengurangkan hutang isi rumah, negara boleh menjangkakan impak ke atas pertumbuhan boleh dilihat dalam suku ketiga. Beliau berkata kuantum kenaikan harga petrol iaitu 20 sen amat penting kerana kenaikan yang signifikan akan memberikan kesan yang hebat kepada penggunaan persendirian, terutamanya ketika ekonomi telah sedia lembap. "Saya percaya usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi akan secara umumnya dilihat positif oleh kedua-dua pelabur antarabangsa dan agensi penarafan," tambah beliau. Sementara itu, pakar ekonomi Dr Jorah Ramlan berkata penurunan subsidi petrol dan diesel merupakan langkah yang sesuai kerana ia akan membantu mengurangkan defisit negara. Beliau bagaimanapun mengingatkan yang kerajaan seharusnya sedar dengan menaikkan harga petrol, ia akan secara automatik akan meningkatkan harga barangan dan produk. "Untuk kesan jangka panjang, kerajaan berbuat sesuatu yang baik untuk rakyat. "Bagaimanapun, kerajaan juga perlu fikirkan kesan ke atas kumpulan berpendapatan rendah yang akan membebankan mereka," katanya. Jorah berkata kumpulan berpendapatan rendah tidak boleh bertahan di bawah situasi semasa dan lambat laun mereka mungkin akan mendapatkan bantuan daripada kerajaan. "Saya tidak fikir kumpulan berpendapatan tinggi akan berhadapan dengan masalah sekiranya subsidi dikurangkan. Saya lebih bimbangkan kumpulan berpendapatan rendah kerana harga produk isi rumah akan naik dan ahli perniagaan pula mengambil peluang untuk mengaut keuntungan," kata Jorah sambil menambah yang kerajaan seharusnya memantau secara aktif ke atas perniagaan. Jorah menambah kerajaan boleh menjimatkan banyak wang dengan menurunkan subsidi petrol dan berharap kerajaan akan menggunakannya untuk membangunkan infrastruktur lain di dalam negara. – Bernama

No comments:

Post a Comment