Thursday, July 9, 2015

Tiada Sebab PM Perlu Bercuti - Rais Yatim

Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu bercuti dari jawatan Perdana Menteri kerana setakat ini hanya akaun peribadinya sahaja disiasat bagi mencari bukti dakwaan `pengaliran wang’ yang dikatakan berbilion-bilion milik 1MDB. Pakar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, hanya jika didakwa, barulah Perdana Menteri boleh meninggalkan jawatan itu buat sementara. “Buat masa ini Perdana Menteri tidak perlu bercuti atau berehat daripada jawatannya kerana beliau bukan disiasat atas rasuah, cuma siasat betul atau tidak duit (AS$700 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau. “Cuma jika Kabinet memutuskan secara ramai bahawa Perdana Menteri wajar berehat untuk disiasat, itu perkara lain,” kata Rais ketika dihubungi KLxpress hari ini. Mengenai keghairahan Wall Street Journal (WSJ) memainkan isu 1MDB dalam laporannya, Rais beranggapan WSJ gemar menunjukkan pihaknya lebih putih daripada pihak lain `demi populariti dan jenama’. “Bagaimanapun berdasarkan rekod, belum ada media asing berjaya menumbangkan sesebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyatnya. “Dulu pernah dicuba oleh beberapa penerbitan seperti Far Eastern Economic Review dan ASWJ tentang beberapa kes sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri khususnya melibatkan kes Tun Salleh Abas yang ketika itu Ketua Hakim Negara. “Mereka hanya menyukarkan, tetapi tidak berjaya tumbangkan kerajaan,” kata Rais.

No comments:

Post a Comment