Wednesday, July 8, 2015

Pergolakan Dalaman PAS: DAP Suka, Penyokong Duka

Sepatutnya jika jernih di hulu, jernihlah di muara. Namun tidak begitu bagi Pas. Parti yang berlabelkan Islam, lahir pada 24 November 1951 itu kini sedang mengalami krisis yang begitu kompleks. Kenyataannya, Pas kini terbahagi tiga. Sementara ‘haluan tak sekata’ sesama pemimpin semakin ketara. Suasana dalam Pas sekarang amat mengecewakan penyokong. Ahli-ahli Pas di kampung-kampung tidak tahu sangat tentang pandangan dan pendirian berbeza di kalangan pemimpin mereka. Cuma yang mereka tahu ada pertelagahan sesama sendiri di kalangan tokoh-tokoh yang mereka beri mandat untuk pemimpin parti. Dikatakan Pas kini terbahagi tiga kerana terdapat golongan Pas ulamak (asal) dan dua puak yang ‘ mahu bermufarakah’ iaitu Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan kumpulan yang terdiri daripada 18 tokoh parti itu yang disebut sebagai G18. Masing-masing kumpulan ini mempunyai pendirian tersendiri. Pas yang didokongi kalangan ulamak cuba mempertahankan perjuangan asal parti itu berlandaskan prinsip dan ciri-ciri keislaman sejati. Malah mereka sudah ‘melarikan diri’ dari pakatan dengan DAP lantaran banyak isu-isu berbangkit demi menegakkan Islam tidak direstui DAP. Punca ketara yang menjadi titik perpecahan Pas dan DAP adalah isu hudud. Ketegasan Pas mahu melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 (hukum Hudud) amat tidak disenangi DAP. Satu kumpulan yang memang awal-awal lagi mahu ‘menjaga hati’ DAP adalah PasMa. Mereka ‘cuba ketepi’ isu hudud apabila didapati sahabat karibnya DAP tidak senang dengan hasrat melaksanakan hukum itu di Kelantan. Penyokong PasMa ‘menterjemahkan’ pendirian secara terbuka bahawa mereka tidak ‘sehaluan’ dengan Pas ulamak pada Muktamar Tahunan parti itu ke-61 di Kuala Selangor pada 4 hingga 6 Jun lalu. Maka pada pemilihan pucuk pimpinan Pas yang baru lalu itu, dapat disaksikan Haji Ahmad Awang menentang Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk jawatan Presiden, sementara jawatan Timbalan Presiden yang disandang Mohamed Sabu atau Mat Sabu, tokoh yang dikatakan mendapat ‘habuan bulanan’ dari kerajaan DAP Pulau Pinang telah dirampas oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Malah kumpulan pro-ulamak boleh dikatakan berjaya ‘mendominasikan’ keseluruhan barisan kepimpinan baharu Pas pada Muktamar yang baru lalu. Ini termasuk dalam sayap Pemuda dan Muslimat. Satu lagi kumpulan yang barangkali merasakan kalangan mereka lebih ‘berwibawa’ dan ‘berkredibiliti’ setidak-tidaknya kerana mereka adalah kalangan wakil-wakil rakyat baik di peringkat Parlimen mahu pun di Dewan Undangan Negeri telah membentuk kumpulan sendiri yang disebut sebagai kumpulan G18. Ini kerana jumlah mereka adalah seramai 18 orang. Kedua-dua Pasma dan G18 ketara menentang kepimpinan Haji Hadi. Mereka dengan terbuka menyalahkan Hadi serta kumpulannya yang seolah-olah tidak boleh menerima teguran dan pandangan pihak lain. PasMa dan G18 melabelkan golongan ulamak dalam kepiminan baharu Pas adalah ‘lebih mesra’ UMNO. Mereka cuba ‘mengalih’ pandangan penyokong parti agar tidak merestui golongan ini kerana dilihat sedia bekerjasama dengan UMNO dalam beberapa hal termasuk Hudud. Terbaharu, seorang anggota kumpulan G18 yang juga dikenali sebagai ‘Anwarinas’ Khalid Samad dipetik dari blognya sebagai mendakwa: “kepimpinan baharu Pas sekarang berjiwa sempit” Sebaliknya umum dapat melihat dengan jelas bahawa PasMa dan G18 adalah dua kumpulan yang mempunyai kepentingan dengan DAP. Mudah ceritanya kedua-dua kumpulan ini adalah ‘sayap’ DAP bagi menawan hati orang-orang Melayu. Lalu kata Hadi kepada golongan yang mahu meninggalkan perjuangan asal Pas: “katalah apa saja, siapa yang meninggalkan Jemaah asal, nescaya tidak akan ke mana…” Dalam ketegasan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan, Haji Hadi berkata: “Pas tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang nak berlawan. Biarlah…biarlah dia sahaja yang bersuara. Kita bawa agenda kita. Biar anjing menyalak, serigala menyalak…qabilah berjalan terus ke destinasi, matlamat dituju.” Terpaksa pula Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfordz Mohamad memperbetul istilah ‘anjing’ dan ‘serigala’ yang disebut Haji Hadi dalam ceramah di Kepala Batas, Pulau Pinang itu. Katanya penggunaan nama haiwan itu adalah sebagai ‘suatu kiasan’, bukan bermaksud melabelkan seumpama haiwan berkenaan. Penjelasan itu dibuat ekoran ada rungutan negatif terhadap apa yang disebutkan oleh Presiden Pas itu atas konteks, pihak yang menentang Kanun Jenayah Syariah (II)(1963) 2015 itu diibarat sebagai ‘menyalak’. Segala ini cukup bagi menggambarkan kecelaruan di kalangan pemimpin Pas dan mereka ‘yang meninggalkan’ Pas. Ertinya pertelagahan sesama mereka seperti sudah tidak terbendung. Sekali lagi, yang kecewa adalah para penyokong. Persoalan besar sekarang…ke mana ketiga-tiga kumpulan ini akan pergi? Bersyukurlah jika ada kecenderungan kumpulan pendokong ulamak ‘mahu berjinak-jinak’ dengan UMNO. Sekurang-kurangnya hasrat utuk melihat umat Islam dan orang-orang Melayu lebih bersatu akan sedikit menampakkan ‘cahaya di hujung terowong’. Tetapi yang dua kumpulan lagi itu macam mana? Apakah mereka hanya bersedia berjuang dengan ‘menempel’ di bawah telunjuk DAP? Di mana maruah dan apa matlamat politik sebenar yang mereka cari? Persoalan ini perlu dijawab dengan jujur agar umum khususnya kalangan orang Melayu tidak menganggap dua golongan ini cenderung untuk ‘menggandai’ kepentingan dan masa depan ummah. Apakah golongan ini akan akur dengan ‘kehendak’ DAP sehingga membabitkan isu-isu bangsa dan agama? Itu pun belum dibayangkan formula perletakan calon bagi pilhan raya umum (PRU) ke-14 akan datang. Sudah pasti akan timbul masalah penempatan kumpulan G18 dengan PasMa. Apakah G18 dapat pastikan mereka diletak kembali pada kawasan yang mereka menangi sebelum ini? Pertembungan akan dapat dilihat antara PasMa, G18, malah termasuk dengan PKR. Ketiga-tiga kumpulan ini akan ‘mengintai’ kawasan-kawasan majoriti Melayu dan yang berbentuk 50-50. Manakala kawasan-kawasan yang majoriti pengundi Cina sudah pasti akan ‘dibolot’ oleh DAP. Malah Pas sendiri akan menghadapi kesukaran mengekalkan kemenangan mereka di sesetengah kawasan. Ada kawasan-kawasan yang ketara kemenangan mereka sebelum ini atas sokongan pengundi Cina. Tetapi mahukah pengundi Cina menyokong mereka susulan mereka sudah tidak lagi ‘bersekongkol’ dengan DAP? Hubungan Pas dan DAP ternyata sukar pulih. Malah Pas dengan PKR juga semakin tidak sehaluan. Pengalaman sebelum ini membuatkan Pas ‘agak serik‘ dengan PKR. Ada pihak dalam Pas yang menuduh PKR hanya manis pada janji tetapi lain sikapnya apabila memegang kuasa. Contoh yang mereka alami adalah di Selangor, di Pulau Pinang dan di Perak sedikit masa dahulu. Pas rasa ‘dipermain’ PKR dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor. Pas sedar cadangan melantik Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail oleh PKR adalah atas desakan DAP. Pas ternyata tidak mahu ‘dipaksa’. Pas pernah mengharap pengaruh PKR dapat membantu mengekalkan pemerintahan di Kedah. Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pendek kata banyak ‘karenah’ PKR yang Pas anggap ‘didalangi’ DAP tidak memihak kepada nilai setiakawan sebenar. Ada pula pihak yang mendakwa, terdapat tokoh tertentu (master mind) di sebalik percaturan ‘siapa dan di mana’ tokoh-tokoh dari PKR, DAP dan Pas ini perlu berada. Senario ini sepatutnya menyedarkan semua, betapa dalam berpolitik, perlu melihat kepentingan jangka panjang. Berpolitik bukan sekadar untuk ‘selesa’ dalam sehari dua atau bukan sekadar ‘menyenangkan hati’ mana-mana individu atau puak. Tidak guna berpolitik jika asas perjuangan bangsa dan agama diketepikan. Perjuangan politik bukan untuk semata-mata mengutuk atau mengatakan pihak lain salah, korup atau serba tidak betul, tetapi perjuangan sebenarnya mestikan berasaskan ideologi yang jelas dan fokus selain berpijak pada ‘skop’ yang luas dan terbuka. Yang tersenyum lebar sekarang adalah DAP. Mereka sedang menyaksikan orang-orang Melayu di dalam Pas sedang berpecah. Dan yang menarik lagi bagi mereka ialah, ada pula kelompok-kelompok Melayu yang ‘berlari’ ke arah mereka. Justeru, elok jika ada pemikiran baharu daripada semua pihak terbabit agar kembali bersatu atas nama perpaduan ummah. Percayalah perpaduan berpaksikan nilai dan tuntutan islam akan lebih menjamin kesejahteraan. Mudah-mudahan perjuangan diberkati. Apa salahnya jika diketepikan sentimen politik kepartian yang ‘keterlaluan’, dengan mengalih kepada yang lebih ‘sederhana’ sambil meletakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air melebihi kepentingan peribadi atau kumpulan. Sebaik-baiknya fikirkan soal maruah dan hala tuju yang sebenar. Sengaja tidak disebut konsep ‘wasatiyyah’ yang dianjurkan UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Bimbang mereka ‘segan’ untuk menyelusuri wadah yang dibawa oleh UMNO meski pun konsep itu baik untuk ‘diguna-pakai’ oleh semua pihak. Wajar bagi semua pihak melihat suasana kini yang semakin mencabar khususnya bagi umat Melayu dan Islam. Sebarang usaha untuk kembali bersatu tidak kira atas apa nama parti politik yang dianuti perlu mengambilkira kepentingan bangsa dan ummah. Katakan saja…bahawa di Malaysia, Melayu tidak lagi mampu menyaksikan perpecahan demi perpecahan sekadar untuk membentuk kelompok kecil di mana-mana. Lagi pun jumlah keseluruhan mereka sebenarnya tidaklah begitu besar. Banyak unsur kekuatan Melayu hanya boleh dibina melalui muafakat dan bersatu padu. Dato’ Sayuti Mukhtar

No comments:

Post a Comment