Monday, December 31, 2012
Amanat Mungkar Hadi Awang
Setelah teruk didesak untuk menarik balik “amanat sesat” yang dilafazkan di depan puluhan ribu para penyokong PAS pada tahun 1981 dulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi kini meminta satu jam dari media arus perdana untuk menjawab kontroversi yang dia timbulkan itu.
Abdul Hadi berkata, dia mahu bersiaran secara langsung di RTM1, RTM2 dan TV3 selama satu jam di waktu perdana dengan alasan supaya kenyataannya tidak diputar belitkan oleh mana-mana media berkenaan.
Kononnya, dengan memberi penjelasan selama satu jam itu dia akan mampu merungkai segala “dosa”nya dari tahun 1981 sehingga kini?
Saya tertanya-tanya, apakah Abdul Hadi fikir dengan bersiaran selama satu jam itu dia mampu menyelesaikan pepecahan umat Islam yang berlaku sejak amanatnya itu dicanang di seluruh Malaysia?
Mampukah tempoh satu jam itu menyatukan kembali puluhan ribu anak dengan ibubapa kandungnya setelah dikafirkan kerana menyokong UMNO?
Apakah dengan tempoh selama satu jam itu juga Abdul Hadi mampu merujuk kembali pasangan suami isteri yang terpisah hanya kerana perbezaan fahaman politik di antara mereka sehingga menyebabkan penceraian dan terpaksa akad nikah sebanyak 2 kali?
Apakah Abdul Hadi fikir dengan satu jam itu dia mampu membersihkan dosanya yang mengakibatkan kekecohan dan insiden memalukan yang berlaku terhadap jenazah yang enggan diuruskan hanya kerana si mati itu menyokong UMNO?
Abdul Hadi perlu menjawab di dalam satu jam berkenaan bahawa penjelasannya itu akan menamatkan amalan solat dua imam yang masih berlaku sehingga hari ini.
Paling utama, Presiden PAS itu juga perlu membuktikan di dalam masa satu jam itu dia akan membersihkan segala dosa-dosanya terhadap seluruh umat Islam di Malaysia yang dipisahkan oleh “amanat”nya yang jelas songsang dan tidak beretika itu.
Saya agak musykil. Dengan kedudukannya sebagai Presiden PAS dan egonya yang lebih mendaulatkan politik berbanding kepentingan Islam, mampukah Abdul Hadi menjelaskan segala kekusutan yang dia lakukan sebelum ini.
Saya akui bahawa ilmu agama Abdul Hadi agak tinggi dan mungkin benar dia adalah setaraf dengan ilmu yang dimiliki oleh para Mufti.
Namun, apakah itu juga bererti bahawa dia tidak pernah silap dalam membuat perhitungan, fatwa atau pandangannya terhadap umat Islam lain yang tidak menyokong perjuangan politik PAS?
Saya percaya bahawa sekiranya Presiden PAS itu diberikan masa selama 24 jam secara langsung sekalipun, dia tidak mungkin mampu membasuh segala dosa yang tercetus akibat keceluparan mulut politiknya yang mengkafirkan umat Islam di negara ini.
Bukan sekadar akidah yang dia cemarkan, malah segala muamalah yang berkaitan perkara fardhu sama ada fardhu ain atau kifayah turut terjejas hanya disebabkan ketaksubannya terhadap kepentingan politik!
Pada saya, Abdul Hadi sebenarnya tidak memerlukan satu jam pun untuk menjelaskan segala dosanya itu dan sebaliknya dia hanya memerlukan selama 2 hingga 3 minit saja untuk menghuraikan segala kekusutan tersebut.
Dengan 2 minit, Abdul Hadi hanya perlu mengaku bersalah dan memikul tanggungjawab sepenuhnya atas dosa yang dia lakukan pada tahun 1981 itu, serta meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam di seluruh negara.
Selebihnya, dia hanya perlu bertaubat kepada Allah SWT untuk tidak sesekali mengkafirkan saudara seagamanya lagi dan tidak lagi memperdagangkan agama Allah itu sebagai senjata meraihkan kuasa politik di Malaysia.
Semudah itu! Dalam 2 hingga 3 minit saja segalanya akan selesai jika Abdul Hadi benar-benar mahu merungkai segala kontroversi amanat “songsang”nya itu, bukan? Jadi untuk apa dia minta tempoh selama satu jam? Kemaruk sangat nak masuk TV, kah?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment