Tuesday, August 28, 2012
Pelbagai Bantuan Dan Insentif Kepada Warga Felda Bertepatan Dengan Tema Hari Kebangsaan
SHAH ALAM, 27 Ogos – Pelbagai bantuan dan insentif yang diberikan kepada para peneroka Felda merupakan satu inisiatif kerajaan bagi memperkukuh sosio ekonomi peneroka tanah rancangan itu serta bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati”.
Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail berkata selain itu, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti dewan serba guna, sekolah, masjid, jalan raya, projek perumahan warga Felda serta memberi pinjaman tanpa faedah bagi membina semula atau mengubah suai rumah mereka.
Bagi merancakkan lagi ekonomi para peneroka, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti Skim Insentif Usahawan Felda dan Skim Pinjaman Koperasi Permodalan Felda (KPF), kata Rozali, yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menggalakkan program “Edible Garden” atau taman makanan di mana segala hasil projek tersebut akan dibeli oleh FAMA, dan ini akan membantu para peneroka meningkatkan pendapatan mereka.
Rozali berkata setakat ini, 112,636 peneroka di seluruh Felda mendapat durian runtuh apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian duit raya kepada setiap peneroka Felda.
“Tradisi pemberian duit raya kepada warga peneroka pada setiap tahun jelas membuktikan keprihatinan kerajaan kepada kebajikan rakyatnya. Semua faedah yang dinikmati pada hari ini adalah hasil kecekapan pentadbiran dan kepimpinan kerajaan yang telah mentadbir Malaysia sejak merdeka lagi,” katanya.
Namun, beliau berkata terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak bersyukur atas kenikmatan yang diperoleh pada hari ini dan mentaliti sesetengah mereka terutamanya golongan muda masih dijajah kerana lebih cenderung memilih keseronokan berbanding menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan dan memandang sepi pengorbanan para pejuang kemerdekaan terdahulu.
Beliau berkata setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan, mereka lebih mengutamakan hiburan dan justeru itu, bukan hanya kerajaan yang perlu memainkan peranan dalam mencari inisiatif bagi memastikan kemerdekaan yang diperoleh dapat dikekalkan, tetapi masyarakat Malaysia juga perlu bersama-sama mengembleng tenaga dan usaha untuk memastikan kemakmuran Malaysia terpelihara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment