Tuesday, August 28, 2012

Kelab Wartawan Muda Malaysia Sokong Pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 Dikekalkan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) menyokong penuh pendirian kerajaan untuk tidak menyemak semula serta mengekalkan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan April lepas. Presiden KWMM Dzulkarnain Taib berkata tujuan pindaan itu adalah bagi mengemaskini pengurusan aliran maklumat dalam dunia internet yang jika tidak diselenggara dengan baik akan menjejaskan hak pengguna sendiri. “Apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan dan akses kepada pelbagai maklumat dan informasi menjadi suatu perkara yang amat mudah, jika tidak dikawal akan menyebabkan bermacam-macam masalah sosial, politik dan ekonomi bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Dzulkarnain berkata pihak yang membuat bantahan terhadap pindaan Seksyen 114A rata-ratanya adalah daripada parti pembangkang serta blogger dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkiblatkan pembangkang. Beliau berkata pihaknya juga kesal terhadap sikap sama yang diambil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang seolah-olah menyebelahi pihak pembangkang. “Perlu diketahui pindaan terhadap Seksyen 114A telah diluluskan secara sah oleh Dewan Rakyat pada sesi persidangan April lepas, jadi setelah pindaan tersebut dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat secara terperinci, kami tidak melihat logiknya pihak pembangkang dan Suhakam meminta supaya ia dikaji semula,” katanya. Beliau berharap agar pindaan tersebut akan mampu mengekang gejala penyebaran fitnah dan khabar angin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada bagi tujuan peribadi, politik atau sebagainya. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 akan dikekalkan bagi menjamin dan melindungi keselamatan negara. Selain itu, ia turut menjamin keselamatan rakyat daripada keganasan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment