Tuesday, May 24, 2016
Institusi Pondok Di Malaysia
Institusi pondok di Malaysia memainkan peranan yang penting, dan kita amat menghormati serta menghargai sumbangan dan jasa institusi ini serta warga di sebaliknya dalam melahirkan golongan ilmuwan celik Al-Quran dan berakhlak tinggi yang mampu mengembangkan syiar Islam.
Sejurus dengan itu, saya berbesar hati mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta buat Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia di Majlis Perasmian Penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 di Terengganu hari ini.
Sebahagian daripada peruntukan tersebut berupa geran sebanyak RM2 juta bagi tujuan kajian mengenai institusi pondok di Malaysia dan juga untuk membawa institusi ini ke era moden dan lebih maju selain mengguna pakai teknologi terkini termasuklah instrumen media sosial.
Sebahagian lagi sebanyak RM500 ribu diluluskan sebagai dana bagi Tabung Kasih Perdana Menteri, di mana kewujudan dana ini bertujuan menjadi simpanan dan boleh memberi bantuan kepada institusi pondok yang mengalami malapetaka atau musibah dengan kadar segera.
Selain itu, saya berharap agar usaha dapat digiatkan untuk mengkaji dan memastikan institusi-institusi pondok tidak berdaftar yang bertebaran serata negara, supaya mendaftar agar kita dapat pastikan bantuan sampai kepada mereka, terutamanya untuk menjaga kebajikan para pelajar.
Walkabout Ke Pasar Payang
Saya memulakan lawatan kerja sehari saya di Terengganu hari ini dengan berkunjung dan bertemu dengan para peniaga di Pasar Kedai Besar Payang, atau lebih dikenali sebagai Pasar Payang.
Kalau berkunjung ke Terengganu, tentu tak sah kalau tak singgah di sini. Selain keperluan dapur, ada juga yang berkunjung ke sini untuk mencari kain batik Terengganu, baju kaftan, dan sebagainya. Malah, kalau ingin beli kudapan atau manisan tempatan pun di sini jugalah tempatnya.
Bagi memastikan Pasar Payang ini terus kekal sebagai tarikan pelancong dan juga tempat para peniaga mencari rezeki, selain memastikan ia selamat dan selesa untuk pengunjungnya, bangunan Pasar Payang yang telah usang akan kita naik tarafkan, roboh dan bina semula dengan kemudahan lebih lengkap dan moden seperti eskalator, surau, tempat letak kereta, skybridge dan pelbagai lagi.
Peruntukan dianggarkan sebanyak RM 78 juta untuk kerja-kerja pembinaan dan naik taraf kompleks ini telah pun diluluskan dan dijangka siap pada tahun 2018.
Saya juga dimaklumkan bahawa segala keresahan dan rasa tidak puas hati segelintir peniaga berkaitan penempatan sementara mereka semasa kerja-kerja naik taraf Pasar Payang dilakukan, telah selesai hasil usaha dan perbincangan bersama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Terengganu, Alhamdulillah.
Insya-Allah, saya percaya bila siap kerja-kerja naik taraf dan pembinaan semula ini kelak, akan memberi nafas baru kepada Pasar Payang dan terus kekal sebagai tarikan pelancong dan serta simbol kepada negeri Terengganu.
Ucapan Perdana Menteri Mengenai Keusahawanan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Bidang keusahawanan merupakan sesuatu bidang yang sangat besar manfaatnya kerana potensi pendapatan yang biasanya berlipat ganda lebih besar daripada pekerjaan biasa.
Walaupun begitu, tidak ramai yang mempunyai keyakinan untuk menceburi bidang ini kerana bimbang akan risiko-risikonya. Selain itu, ada juga yang tidak mempunyai modal untuk memulakan perniagaan.
Kedua-dua faktor ini biasanya merupakan faktor utama yang menjadi penghalang kepada mereka yang pernah terfikir untuk menceburi bidang keusahawanan. Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan-kemudahan bagi menggalakkan orang ramai terutama sekali mereka yang dari golongan berpendapatan rendah bagi menceburi bidang keusahawanan.
Bagi mereka yang tidak mempunyai modal, kerajaan menyediakan bantuan modal seperti dana yang dikendalikan oleh MARA, TEKUN, SUPERB, 1AZAM, PUNB dan lain-lain.
Dana-dana ini diberikan dalam bentuk geran, pinjaman berfaedah rendah, pinjaman dalam tempoh bayar balik selepas 2 tahun dan sebagainya. Ini semua merupakan dana yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk mengembangkan sumber pendapatan.
Bagi mereka yang bimbang terhadap risiko, pemberian dana-dana ini diiringi dengan latihan kemahiran. Sebenarnya, salah satu cara mengurangkan risiko perniagaan adalah dengan menimba ilmu pengetahuan. Lebih banyak pengetahuan kita dalam bidang keusahawanan dan juga pengurusan perniagaan, lebih rendah kebarangkalian kita untuk melakukan kesilapan.
Kesimpulannya, pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan demi kepentingan rakyat.
Sekian sahaja dari saya,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Subscribe to:
Posts (Atom)

