Thursday, July 30, 2015
Bagasi Rosak Berhampiran Sayap Pesawat Petunjuk Terbaru MH370?
KUALA LUMPUR- Media Perancis Linfo.re melaporkan seorang penduduk tempatan Pulau La Reunion telah menjumpai satu bagasi yang rosak teruk berhampiran tempat penemuan serpihan pesawat di Saint-Andre, semalam. Namun, masih belum dapat dipastikan lagi sama ada bagasi tersebut mempunyai kaitan dengan penemuan bahagian sayap pesawat yang dipercayai milik Boeing 777 , MH370 di pulau tersebut.
Pihak terlibat sehingga kini masih berusaha untuk mengenal pasti sama ada serpihan sayap tersebut adalah milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Lautan Hindi sejak Mac tahun lalu.
MH370: Keputusan Penemuan Serpihan Dalam Tempoh Kurang Dari 60 jam.
KUALA LUMPUR - Misteri mengenai status serpihan sayap pesawat yang dijumpai di Pulau La Reunion dijangka boleh diketahui dalam tempoh kurang dari 60 jam.
Menurut bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain, andaian itu dibuat berdasarkan kebiasaannya itu adalah prosedur siasatan oleh badan siasatan antarabangsa.
"Saya berani cakap kita tunggu dulu siasatan, dalam tempoh 72 jam kita akan dapat tahu secara mutlak dari mana dan dari pesawat mana serpihan yang dijumpai itu datang," kata Nik Huzlan, pada Khamis malam.
Huzlan optimis, penemuan serpihan sayap itu akan membawa kepada penemuan sebenar pesawat MH370 yang hilang lebih setahun lalu.
Jelasnya, berdasarkan petunjuk serpihan yang ditemui itu, terdapat kebarangkalian tinggi ia akan membawa pasukan penyiasat kepada penemuan pesawat itu.
"Kalau itu milik Boeing 777, maknanya ia datang dari badan pesawat MH370, setahu saya terdapat 1200 Boeing 777 dijual dari tahun 1996, sehingga sekarang hanya lima buah pesawat yang musnah di daratan dan hanya satu pesawat musnah dalam air dan hilang iaitu pesawat MH370," jelasnya lagi.
Katanya, jika ia buatan Boeing 777, maka ia jelas membuktikan serpihan tersebut adalah milik MH370.
Beliau berkata demikian ketika temubual secara langsung dalam Buletin Awani 7.45 yang disiarkan pada Khamis.
Sejak dilaporkan terputus hubungan pada Mac tahun lalu, pasukan pencari dan penyelamat tidak menjumpai serpihan pesawat MH370.
Kerajaan Malaysia kemudiannya mengisytiharkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat berkenaan telah terkorban.
Malaysia dan UK Tingkatkan Kerjasama
PUTRAJAYA – Negara ini dan United Kingdom akan memperbaharui komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor utama seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertahanan.
Bersempena lawatan sehari Perdana Menteri Britain David Cameron ke Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat perwakilan dengan rakan sejawatnya di pusat pentadbiran negara pada Khamis.
Dalam kenyataan, Wisma Putra berkata Malaysia dan United Kingdom berminat untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan pada masa akan datang.
Dengan jumlah dagangan yang meningkat pada kadar dua peratus setahun untuk 10 tahun terakhir, dan jumlah dagangan tahun lepas bernilai RM17 bilion, ia berkata momentum itu menjadi asas mengukuhkan perdagangan.
"Dari sudut pelaburan, kedua-dua pemimpin mengiktiraf penglibatan Malaysia dalam Projek Stesen Janakuasa Battersea yang telah menarik minat ramai. Bernilai RM41 bilion, ia adalah bukti kebolehan syarikat Malaysia untuk memenuhi piawaian global," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, United Kingdom turut mempunyai pelaburan di Malaysia bernilai RM15.4 bilion setakat ini dalam pelbagai sektor seperti peruncitan, farmaseutikal serta minyak dan gas, katanya.
Dari segi perdagangan, Wisma Putra berkata kedua-dua negara berminat meningkatkan dagangan pada masa akan datang.
Ia juga berkata Najib turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat British untuk meneroka peluang perniagaan di Malaysia.
Kedua-dua perdana menteri bersetuju bahawa pendidikan adalah salah satu daripada tonggak kerjasama antara Malaysia dan United Kingdom.
"Setakat ini terdapat lebih daripada 17,000 penuntut Malaysia yang mengikuti pelbagai kursus di United Kingdom," katanya.
Wisma Putra berkata Najib juga mengalu-alukan tawaran United Kingdom untuk membantu meningkatkan pengajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di sekolah awam Malaysia.
Ia berkata United Kingdom juga melancarkan promosi "Tahun HEBAT untuk Pendidikan" yang menjadikan Malaysia hab untuk menggalakkan pendidikan British di rantau ASEAN.
Tambah Wisma Putra lagi, Najib juga mengalu-alukan inisiatif itu, yang menandakan pengiktirafan United Kingdom terhadap Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.
Menyentuh kerjasama pertahanan, Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan kerjasama dalam sektor penting ini.
Katanya kedua-dua pemimpin juga membincangkan beberapa isu serantau dan antarabangsa, menyentuh ancaman IS dan keganasan yang kian meningkat.
"Kedua-dua pemimpin bersetuju komuniti antarabangsa perlu menangani ancaman itu secara efektif kerana kumpulan pengganas menyasarkan belia menerusi media sosial.
Malaysia berminat meneroka kaedah kerjasama dengan United Kingdom dan rakan antarabangsa lain untuk menentang keganasan," katanya.
Menurut Wisma Putra lagi Cameron mengalu-alukan minat Malaysia dan mengiktiraf inisiatif kesederhanaan Malaysia dalam menangani ekstremism.
Dalam perbincangan mengenai keputusan undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai resolusi mengujudkan sebuah tribunal antarabangsa untuk nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines, Wisma Putra berkata Najib berterima kasih kepada Cameron atas sokongan United Kingdom kepada inisiatif Pasukan Siasatan Bersama.
"Cameron mengulangi sokongan berterusan United Kingdom terhadap usaha antarabangsa untuk membawa pesalah ke muka pengadilan, " katanya.
Selain pertemuan dua hala, Najib turut meraikan Cameron dalam satu jamuan makan malam yang turut dihadiri menteri-menteri, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin perniagaan daripada kedua-dua pihak.
Cameron turut menghadiri beberapa majlis berkaitan perniagaan di Kuala Lumpur anjuran Suruhanjaya Tinggi British.
Lawatan ini merupakan lawatan kedua Cameron ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun selepas lawatan rasminya pada April 2012. Cameron adalah Perdana Menteri pertama British yang melawat Malaysia berturut-turut dalam tempoh dua penggal, ujar Wisma Putra
Subscribe to:
Posts (Atom)