Tuesday, August 28, 2012
Pelbagai Bantuan Dan Insentif Kepada Warga Felda Bertepatan Dengan Tema Hari Kebangsaan
SHAH ALAM, 27 Ogos – Pelbagai bantuan dan insentif yang diberikan kepada para peneroka Felda merupakan satu inisiatif kerajaan bagi memperkukuh sosio ekonomi peneroka tanah rancangan itu serta bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati”.
Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail berkata selain itu, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti dewan serba guna, sekolah, masjid, jalan raya, projek perumahan warga Felda serta memberi pinjaman tanpa faedah bagi membina semula atau mengubah suai rumah mereka.
Bagi merancakkan lagi ekonomi para peneroka, kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti Skim Insentif Usahawan Felda dan Skim Pinjaman Koperasi Permodalan Felda (KPF), kata Rozali, yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menggalakkan program “Edible Garden” atau taman makanan di mana segala hasil projek tersebut akan dibeli oleh FAMA, dan ini akan membantu para peneroka meningkatkan pendapatan mereka.
Rozali berkata setakat ini, 112,636 peneroka di seluruh Felda mendapat durian runtuh apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian duit raya kepada setiap peneroka Felda.
“Tradisi pemberian duit raya kepada warga peneroka pada setiap tahun jelas membuktikan keprihatinan kerajaan kepada kebajikan rakyatnya. Semua faedah yang dinikmati pada hari ini adalah hasil kecekapan pentadbiran dan kepimpinan kerajaan yang telah mentadbir Malaysia sejak merdeka lagi,” katanya.
Namun, beliau berkata terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak bersyukur atas kenikmatan yang diperoleh pada hari ini dan mentaliti sesetengah mereka terutamanya golongan muda masih dijajah kerana lebih cenderung memilih keseronokan berbanding menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan dan memandang sepi pengorbanan para pejuang kemerdekaan terdahulu.
Beliau berkata setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan, mereka lebih mengutamakan hiburan dan justeru itu, bukan hanya kerajaan yang perlu memainkan peranan dalam mencari inisiatif bagi memastikan kemerdekaan yang diperoleh dapat dikekalkan, tetapi masyarakat Malaysia juga perlu bersama-sama mengembleng tenaga dan usaha untuk memastikan kemakmuran Malaysia terpelihara.
Kelab Wartawan Muda Malaysia Sokong Pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 Dikekalkan
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) menyokong penuh pendirian kerajaan untuk tidak menyemak semula serta mengekalkan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan April lepas.
Presiden KWMM Dzulkarnain Taib berkata tujuan pindaan itu adalah bagi mengemaskini pengurusan aliran maklumat dalam dunia internet yang jika tidak diselenggara dengan baik akan menjejaskan hak pengguna sendiri.
“Apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan dan akses kepada pelbagai maklumat dan informasi menjadi suatu perkara yang amat mudah, jika tidak dikawal akan menyebabkan bermacam-macam masalah sosial, politik dan ekonomi bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dzulkarnain berkata pihak yang membuat bantahan terhadap pindaan Seksyen 114A rata-ratanya adalah daripada parti pembangkang serta blogger dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkiblatkan pembangkang.
Beliau berkata pihaknya juga kesal terhadap sikap sama yang diambil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang seolah-olah menyebelahi pihak pembangkang.
“Perlu diketahui pindaan terhadap Seksyen 114A telah diluluskan secara sah oleh Dewan Rakyat pada sesi persidangan April lepas, jadi setelah pindaan tersebut dibahaskan oleh anggota Dewan Rakyat secara terperinci, kami tidak melihat logiknya pihak pembangkang dan Suhakam meminta supaya ia dikaji semula,” katanya.
Beliau berharap agar pindaan tersebut akan mampu mengekang gejala penyebaran fitnah dan khabar angin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada bagi tujuan peribadi, politik atau sebagainya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 akan dikekalkan bagi menjamin dan melindungi keselamatan negara.
Selain itu, ia turut menjamin keselamatan rakyat daripada keganasan dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Monday, August 27, 2012
Perhimpunan janji ditepati bakal digamatkan dengan 200,000 orang
MO, KL, 28/8/2012 – Hampir 200,000 orang dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memeriahkan Perhimpunan Janji Ditepati sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, Jumaat ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk SeriKamaruddin Siaraf berkata, khalayak adalah daripada agensi dan jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, badan beruniform,parti komponen Barisan Nasional, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi,komuniti 1Malaysia serta belia pelbagai kaum.
“Kesemua pihak yang terlibat menunjukkan minat yang amat menggalakkan dalam penyertaan ‘Perhimpunan Janji Ditepati’ berdasarkan kepada penambahan jangkaankehadiran pada hari itu,” katanya kepada pemberita selepas taklimat akhir jawatankuasa khalayak persembahan khas sempena perhimpunan itu, Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah memohon untuk mendapatkan perkhidmatan sistem aliran ringan (LRT) secara percuma bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Jalil.
“Kita sedang usahakan sesuatu yang melibatkan pihak awam untuk menggalakkanorang ramai turun beramai-ramai bukan sahaja untuk mengisi ruang di dalam malahdi luar stadium yang dihias bertemakan Merdeka Raya.
“Dan yang paling penting adalah untuk mendengar perutusan sambutan kemerdekaan ke-55 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam itu nanti,” katanya.
Persembahan untuk khalayak adalah berunsur patriotik dan bercirikan perpaduan yang dibahagi kepada tiga segmen melibatkan 16,000 peserta.
Antara acara pada malam itu ialah persembahan artis remaja tanah air, senimempertahankan diri, penganugerahan sijil Pencapaian Cemerlang kepada 10 ikon generasi muda, flashmob, cabutan bertuah dan pertunjukan bunga api.
Selain menyampaikan amanat, Perdana Menteri dijangka menyertai Tweet Up Merdeka dan meluangkan masa beramah mesra dengan Gen Y di luar Stadium Nasional.
Sementara itu, mengulas perhimpunan ‘Janji Bersih’ pada malam sambutan Hari Kemerdekaan, Kamaruddin berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana kawasanDataran Merdeka dipenuhi peralatan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.
“Kita sudah gunakan Dataran Merdeka sejak hari ini, dan semua tempat kita sudah isi dengan peralatan seperti sistem PA.
“Peralatan semua dah disiap pasang. Saya ingat polis tidak akan benarkan perhimpunan itu berlaku di dalam kawasan Dataran Merdeka,” katanya.
Beberapa NGO, termasuk Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), merancang Perhimpunan ‘Janji Bersih’ di Dataran Merdeka pada malam Hari Kemerdekaan bagi mengulangi tuntutan penambahbaikan proses pilihan raya.
Berdasarkan laporan sebuah portal berita 9 Ogos lepas, wakil kumpulan NGO terbabit iaitu Pengerusi bersama Bersih Datuk A. Samad Said berkata perhimpunan yang dikenali sebagai ‘Janji Bersih’ akan bermula pada 10 malam. - ( Dipetik dari BERNAMA)
Subscribe to:
Posts (Atom)
