Tuesday, May 24, 2016

Permintaan kerajaan Pulau Pinang Berbaur Politik, Kata Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR - Pengarah Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan melihat permintaan mengejut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung Jambatan Pulau Pinang ke tiga berbaur politik. Melalui satu kenyataan lewat semalam, Rahman berkata bahawa permintaan berkenaan timbul apabila Kementerian Kerja Raya tampil membuat penegsahan bahawa tiada sebarang permohonan yang dikemukakan kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini berhubung projek berkenaan. “Bagi saya, ini (permohonan tiba-tiba) ini adalah sesuatu yang pelik kerana ini bermakna bahawa sebelum ini kerajaan negeri Pulau Pinang telah melakukan perjanjian dengan menghabiskan sekurang-kurangnya RM2 billion wang rakyat hanya untuk jambatan bukan terowong dan mengenakan konsesi tol selama 30 tahun. “Saya tidak rasa ini alasan yang dapat diterima dan pastinya bukan satu contoh tadbir urus yang baik dan pada pandangan saya rakyat Pulau Pinang berhak untuk mendapat yang lebih baik,” katanya melalui kenyataan itu. Rahman yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempertikaikan beberapa perkara melalui soalan yang perlu dijawab oleh kerajaan pemerintahan DAP terbabit. Antaranya ialah kewajaran membelanjakan RM305 juta hanya untuk menjalankan tiga kajian melibatkan projek pembinaan jambatan berkenaan. Malah beliau juga mempertikaikan adakah DAP sudah beralih pendirian untuk mengenakan tol di lebuh raya berbanding manifesto Pakatan Harapan yang berhasrat untuk memansuhkan tol. "Mengapa Kerajaan Pulau Pinang memilih untuk membiayai sepenuhnya kos pembinaan keseluruhan tetapi masih membenarkan syarikat swasta untuk mengumpul 30 tahun tol pada kadar yang sama dengan Jambatan Pulau Pinang kedua. "Mengapa tidak kerajaan Pulau Pinang menjual tanah ini secara berperingkat-peringkat berdasarkan kemajuan pembinaan dan mengambil kesempatan daripada kenaikan nilai tanah dan bukannya membenarkan syarikat swasta untuk mendapat manfaat daripada peningkatan tanah ini,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu lagi. Sebelum ini Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan kenyatan Lim yang mendakwa kerajaan persekutuan menolak permohonan atau memberi kesukaran kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan ketiga Pulau Pinang berbanding terowong dasar laut. Fadillah berkata pihaknya telah membuat penelitian dan mendapati tiada permohonan seumpama itu mahupun perbincangan dengan kementerian bagi membina jambatan tersebut

Thursday, May 12, 2016

TONY PUA DAKWA NAJIB TIADA LOCUS STANDI DALAM 1MDB UNTUK MENYAMANNYA

TONY PUA DAKWA NAJIB TIADA LOCUS STANDI DALAM 1MDB UNTUK MENYAMANNYA 1. Ahli Parlimen Dap Petaling Jaya, Tony Pua telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib ke atas dirinya di atas alasan plaintif (Najib) tidak mempunyai LOCUS STANDI untuk memulakan tindakan saman terhadapnya. Tony mendakwa saman itu bertujuan untuk menyusahkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah. 2. "Tiada locus standi" bermaksud "bukan dalam kapasiti" atau "tiada kapasiti" untuk memulakan tindakan saman ke atasnya atau dalam bahasa mudah, Najib tidak boleh menyaman Tony Pua kerana Najib tiada kaitan dengan 1MDB atau tiada berjawatan di dalam 1MDB. 3. Ianya sama seperti hujah bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dipersalahkan dalam skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) suatu ketika dulu kerana dia tidak memegang jawatan dalam bank tersebut. 4. Contoh kes yang "tiada locus standi" yang paling popular ialah apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang gagal menghalang kerajaan pimpinan Tun M dari menyerahkan PLUS kepada syarikat UEM (sebuah syarikat rugi) pada 2002 kerana Kit Siang tidak ada locus standi untuk menghalang penyerahan tersebut, malah Kit Siang juga tiada mempunyai sebarang kepentingan dalam UEM atau PLUS. 5. Justeru, tindakan Tony Pua memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib ke atas dirinya adalah bukti 'pengakuan'nya bahawa Najib TIADA perkaitan langsung dengan 1MDB seperti yang didakwa oleh Tun M dan pemimpin pembangkang selama ini. 6. Jelas, dakwaan bahawa Najib terlibat secara langsung dengan 1MDB hanya suatu permainan persepsi yang terancang dalam plot untuk 'menjenayahkan Najib'. Hakikatnya, pembangkang sendiri mengakui bahawa dakwaan ini tiada asas sama sekali dari segi undang-undang.

Tuesday, April 26, 2016

BAGAIMANA KITA TANPA SUBSIDI BERAS

BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan penghapusan program subsidi beras yang bermakna beras jenis ST15 akan dijual pada harga pasaran, dan tidak lagi pada harga subsidi. Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan biasa ST15. Ini bermakna tiada lagi subsidi sebanyak RM7.50 untuk sekampit beras jenis ST15. Adakah penghapusan program ini wajar, atau akan membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah? Program ini bermula pada 2008, apabila harga padi pada masa itu telah naik tiga kali ganda kepada lebih AS$1,000 satu tan, berban­ding hanya AS$335 tahun sebe­lumnya. Kerajaan memperkenalkan program ini bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah dapat membeli beras pada harga rendah. Kos program subsidi ini bukannya sedikit. Pada tahun lepas, kerajaan memperuntukkan lebih kurang RM530 juta untuk program ini yang disalurkan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Sejak 2008 hingga tahun lepas, sebanyak RM3.4 bilion telah pun dibelanjakan. Mengapa program ini diberhentikan? Hujah yang diberikan adalah kerana ketirisan dan pelaksanaan yang lemah apabila mereka yang membeli beras murah ini bukannya golongan miskin, tetapi pekerja a­sing, pekedai ataupun pemborong, dan juga pemilik-pemilik restoran. Persoalannya, patutkah program subsidi beras ini dihentikan? Apakah kesan penghapusan program ini terhadap golongan miskin? Soalan pertama, patutkah ia dihentikan? Jawapannya adalah ya. Jika kita lihat harga padi sekarang, lebih kurang AS$370/tan. Jika sebab utama kita perkenalkan subsidi beras adalah harga antarabangsa yang tinggi, namun hujah itu tidak lagi relevan. Harga padi pada masa sekarang tidak banyak bezanya dengan harga padi sebelum program subsidi ini dilancarkan. Maka, memang patutlah ia dihentikan. Soalan kedua, apakah kesannya penghapusan subsidi ini terhadap orang miskin? Jawapannya jelas, sudah tentu pengurangan subsidi beras akan meningkatkan kos sara hidup mereka, apatah lagi beras adalah makanan ruji rakyat negara ini. Ia tentu membebankan mereka, apatah lagi dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat, pada masa sama, subsidi tepung juga dihapuskan. Apakah terdapat cara atau kaedah lain untuk meringankan beban akibat pemansuhan subsidi ini? Terdapat dua cara; pertama, meneruskan program ini, tetapi dengan penambahbaikan sistem penyampaiannya, atau kedua, menghapuskan subsidi ini, dan menggantikannya dengan cash transfer ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Cadangan pertama adalah menyeluruh tetapi memakan masa kerana memerlukan penambahbaikan dan pemantauan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP). Ini bermaksud Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani haruslah mengkaji kembali pene­rima dan kuota yang diberikan kepada pemborong dan pengilang untuk membekalkan beras ST15 ini. Peniaga dan penjual haruslah juga dipantau, dan mereka ini sebaik-baiknya dilantik terus oleh kementerian, dan bukannya oleh pengilang ataupun pengedar. Pemantauan berterusan penting supaya tiada penipuan terutamanya kes mencampur beras murah ST15 dengan beras yang lain, dan menjualnya pada harga tinggi. Isu penyeludupan beras haruslah juga dihapuskan. Cadangan kedua lebih mudah. Subsidi beras dihapuskan tetapi untuk mengurangkan beban rakyat miskin yang terpaksa membeli pada harga tinggi, subsidi bulanan diberikan terus kepada golongan miskin, dalam bentuk wang tunai ataupun kupon beras. Tidak perlu lagi memberi kuota, memantau pengilang, pemborong ataupun peniaga. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kegiatan penyeludupan beras, kos­nya jua jauh lebih rendah. Jika setiap keluarga dalam golong­an 20 terbawah (B20) iaitu seramai 1.3 juta keluarga diberikan wang tunai atau kupon bersamaan nilai dua kampit subsidi beras (RM15) setiap bulan, kos tahunan adalah RM240 juta - iaitu penjimat­an sebanyak RM290 juta, atau hampir 120 peratus! Ini lebih berkesan kerana golongan sasaran akan terus mendapat bantuan ini malah kos­nya juga lebih rendah. Mereka juga dapat membeli beras yang lebih berkualiti. Ini adalah cadangan sementara. Tetapi ia penting dilakukan segera supaya rakyat terutamanya golong­an miskin masih mampu membeli beras. Dalam pada itu, strategi jangka panjang juga perlu untuk memastikan pendapatan dan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan supaya mereka tidak lagi bergantung kepada subsidi atau bantuan kerajaan. DR. MUHAMMED ABDUL KHALID ialah Penyelidik Khazanah Nasional.