Monday, June 6, 2016

UMNO tetap teguh tanpa Mahathir : Shahbudin Embun

TIDAK ada yang luar biasa dan mungkin sesuatu yang sudah dijangka. Begitulah yang dikatakan oleh beberapa rakan penulis apabila kami berborak sambil menikmati secangkir kopi ketika membincangkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar UMNO. Adakah tindakan tokoh bergelar seorang negarawan ini akan menjejaskan UMNO? Jika dilihat daripada ketokohan dan peranan yang dimainkan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, pastinya ini satu tamparan buat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apatah lagi, alasan yang digunakan oleh Mahathir ialah sebagai tanda protes terhadap kepemimpinan Najib. Perasaan tidak puas hati Mahathir terhadap Najib bukan rahsia lagi. Ahli UMNO perlu bersatu Berbalik kita kepada persoalan, adakah UMNO akan terjejas? Jawapan kepada persoalan yang dikemukakan ini sebenarnya terletak pada bahu pucuk pimpinan serta ahli UMNO sekarang yang sama-sama berjuang dengan Najib. Jika semua ahli UMNO terus berdebat tanpa berhenti dan meramalkan apa yang mungkin berlaku serta alpa dengan perjuangan parti, maka sememangnya parti ini akan terjejas kerana kita hanya akan dengar kata-kata tanpa melihat sebarang tindakan untuk memperkasakan parti. Namun, jika semua ahli UMNO terus berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, maka UMNO tetap utuh dan tidak terjejas dengan apa pun tindakan Mahathir. Bahkan ada yang berpendapat, UMNO akan lebih padu kerana virus yang menyerang UMNO dari dalam sudah berhenti, sekali gus menguatkan kembali sistem ketahanan UMNO yang agak goyah pada suatu ketika dahulu. Semangat solidariti diutama Kita tidak boleh meramalkan apakah tindakan Mahathir selanjutnya. Beliau seorang pakar atau sifu apabila mencorak langkah dan merancang taktikal dalam permainan politik yang penuh dengan sepak terajang. Suara beliau pasti akan lebih lantang dan lebih bebas untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya. Sebagai sebuah negara demokrasi, itu adalah haknya. Namun, kelantangan, ketegasan dan kekerasan suara itu boleh dilentur dan diselubungi dengan pendirian dan semangat solidariti ahli UMNO yang terus berdiri menyokong Najib. Itu sebabnya sikap Najib yang tenang dan sabar dalam menghadapi isu ini perlu dipuji. Beliau tidak membuat serangan balas, bahkan lebih menumpukan kepada agenda terus membangunkan negara. Penulis tidak berminat untuk mengorek segala kejayaan dan kegagalan yang dilakukan oleh Mahathir ketika beliau memimpin UMNO dan negara dahulu. Segala yang berkaitan dengan isu ini telah menjadi pengetahuan ramai dan biarlah dibincangkan dalam forum yang berbeza. Apa yang pasti, jasa Mahathir selama ini akan terus dikenang. Wajar hormat keputusan Sebab itulah juga keputusan beliau untuk meninggalkan UMNO perlu dihormati. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati tindakan Mahathir dan masih berharap bekas Presiden UMNO ini mempertimbangkan semula keputusannya. Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya sentiasa mempertahankan dan mengukuhkan solidariti UMNO dengan terus memberikan kepercayaan kepada Najib. Faktor kepercayaan ini penting kerana kehebatan Mahathir ketika beliau berada di puncak kepemimpinan dahulu juga disebabkan sokongan tidak berbelah-bahagi serta kepercayaan rakyat dan ahli UMNO kepadanya. Seperti Mahathir di zamannya, Najib juga memerlukan sokongan padu seperti itu untuk terus memimpin negara ke arah kejayaan lebih gemilang. PM utamakan rakyat Semakin hari rakyat semakin yakin bahawa Najib mampu mencorakkan masa depan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Lihat sahaja pelan transformasi yang sedang diusahakan oleh beliau. Najib sedar ia bukan mudah untuk dilaksanakan. Namun, demi kesejahteraan rakyat, kestabilan politik serta kejayaan ekonomi, pelan ini perlu dilaksanakan dengan sokongan dari kita semua. Perbincangan mengenai tindakan Mahathir dan implikasinya kepada UMNO akan terus dibincangkan oleh masyarakat, khasnya dalam kalangan ahli UMNO. Namun, seperti penulis jelaskan, jika ahli UMNO terus berbahas perkara ini tanpa mengambil inisiatif memperkasakan parti, ia akan merugikan UMNO sendiri. Ramai yang tahu lagu My Way nyanyian Frank Sinatra adalah lagu kegemaran Mahathir. Mungkin sudah sampai masanya Mahathir membiarkan Najib bersama barisan pimpinannya memimpin negara dengan lagu dan irama baharu, sesuai dengan era sekarang yang jauh bezanya dengan zaman Mahathir memerintah dahulu. Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/130179

No comments:

Post a Comment