Monday, June 13, 2016

SEMEMANGNYA DUIT KERAJAAN BUKAN DUIT RAKYAT

SEMEMANGNYA DUIT KERAJAAN BUKAN DUIT RAKYAT Oleh: Syed Atif bin Syed Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis. 1. Syabas kepada Ahli Parlimen Langkawi, YB Dato' Ir. Nawawi Ahmad, kerana mengetengahkan suatu isu penting yang tentunya dapat membina kefahaman rakyat, khususnya orang-orang muda, berkenaan batas-batas pertikaian terhadap pentadbiran kerajaan. 2. YB Ir Nawawi telah merumuskan secara tepat dan tajam bahawa gaji wakil rakyat dibayar dengan wang kerajaan; bukan wang rakyat. Ini bermakna, kerajaan merupakan suatu entiti yang berasingan. Apa yang perlu difahami, wakil rakyat dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan sebagai wakil mereka dalam kerajaan; dan kerajaan membayar gaji mereka. 3. Argumen bahawa duit kerajaan adalah duit rakyat semata-mata bersandar kepada sumber kewangan kerajaan yang sebahagiannya datang daripada bayaran cukai dan kutipan wang daripada rakyat. Jika argumen seperti ini dijadikan pegangan, bermakna wang kutipan jualan oleh peniaga-peniaga runcit di pasar, supermarket dan kedai tayar juga merupakan duit rakyat; kerana wang tersebut dikutip daripada poket rakyat. Mengapa "rakyat" tidak pernah memandai-mandai atau cuba menuntut saham dalam perniagaan mereka ini? 4. Rakyat membayar wang kepada peniaga-peniaga runcit dan mendapat barangan. Di sisi yang lain, rakyat membayar wang kepada kerajaan dan mereka memperolehi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan sebagai imbalan. Ini kerangka asas ekonomi dan kenegaraan yang sedia difahami oleh rakyat tebanyak, kecuali sekelompok rakyat yang sengaja cuba mencipta kekeliruan. 5. Hakikatnya, wang kerajaan sama sekali bukan wang rakyat. Tidak ada satu sen pun wang kerajaan boleh dibelanjakan sekalipun 30 juta rakyat Malaysia menurunkan tandatangan bersetuju membelanjakannya. 6. Sekali lagi, syabas dan tahniah YB Ir Nawawi. Kuala Kangsar 9 Jun 2016 PS: Nota diatas adalah reaksi pandangan penulis terhadap kritikan demi kritikan terhadap YB Ir Nawawi, antaranya di link berikut: https://m.malaysiakini.com/news/344545

No comments:

Post a Comment