Monday, June 6, 2016
PERPADUAN UMMAH: PATUTKAH RAJA-RAJA DILIBATKAN? Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad
Semata-mata memandang dari sudut konsep raja keperlembagaan (constitutional
monarchy) model British, tidak dapat hendak difikirkan satu alasan bagi menyokong
penglibatan raja dalam usaha untuk menyatupadukan sekumpulan rakyat
berasaskan bangsa dan agama. Bayangkan sekumpulan rakyat British keturunan
Inggeris beragama Kristian gereja England menghadap Queen England meminta
jasa baik baginda untuk 'menasihatkan' pemimpin-pemimpin Parti Konservatif, Parti
Boroh dan Parti Liberal supaya bergabung atau berkerjasama dalam pilihanraya
umum (PRU) yang akan datang untuk mengelak kemungkinan rakyat British yang
bukan berkulit putih dan bukan pengikut gereja England daripada mengambil alih
Kerajaan Great Britain.
Sekurang-kurangnya pada masa ini, hal seperti itu tidak dapat dibayangkan
berkemungkinan akan berlaku di England, kerana “ancamannya” masih belum
nampak.
Maka ahli politik, pakar undang-undang, ahli sejarah dan cendikiawan akan berhujah
bahawa cubaan berbuat demikian adalah sesuatu yang langsung tidak boleh
diterima. Saya dapat bayangkan hujah mereka adalah bahawa rakyat British
berjuang dan berperang beratus-ratus tahun untuk memisahkan kuasa politik
daridapa raja, untuk memberi kuasa memerintah mengikut kehendak majoriti
(demokrasi) kepada rakyat melalui pilihanraya dan parlimen, bagaimana sekarang
mereka hendak berpatah balik pula?
Mereka akan berhujah bahawa rakyat adalah bebas menubuh parti politik dan
pertubuhan seperti yang dikehendaki mereka dengan tujuan yang dikehendaki oleh
mereka. Jika akibatnya, rakyat daripada sesuatu kumpulan akan berpecah belah,
malah kehilangan kuasa politik itu adalah masalah politik, hak rakyat
menentukannya, bukan hak raja untuk campur tangan dan menentukannya. Dengan
campur tangan, raja melakukan sesuatu yang berlawanan dengan peranannya
sebagai raja keperlembagaan, malah melanggar prinsip demokrasi.
Mereka akan merujuk kepada perjanjian-perjanjian, akta-akta parlimen dan
conventions mengenainya. Mereka akan merujuk kepada konvensyen-konvensyen
hak asasi manusia (human rights) yang menjamin kebebasan bercakap,
berorganisasi dan lain-lain.
Saya tidak hairan jika, di Malaysia pun, terdapat orang-orang, terutama sekali jika
mereka mempunyai kepentingan diri, yang akan berhujah demkian. Mereka akan
berkata kita telah menerima prinsip raja keperlembagaan model British, maka kita
kenalah mengamalkannya seperti yang dilakukan di Britain. Noktah.
Dalam kertas ringkas ini, saya akan menghujahkan bahawa keadaan di Malaysia
(khususnya mengenai hubungan orang Melayu dengan Raja-Raja Melayu) adalah
berbeza daripada keadaan di Britain dan hal keadaan tempatan itu mestilah diambil
2
kira dalam menentukan corak raja keperlembagaan kita. Sebagai misalah, corak raja
keperlembagaan Thailand juga berlainan: raja memain peranan politik yang lebih
aktif, dan nampaknya itu sahaja caranya untuk ‘mematangkan” ahli-ahli politik di
negara itu. Kita tidak boleh mengatakan bahawa sistem Thailand tidak betul. Itulah
yang diperlukan di Thailand.
Kembali ke negara kita, pertama, sepanjang sejarah pemerintahan raja-raja Melayu,
raja adalah “payung” atau pelindung rakyatnya yang memberi ta’at setia kepadanya.
Raja adalah tempat rakyat mengadu dan titah raja dijunjung.
Kedua, walaupun British menjajah Semenanjung Tanah Melayu, mereka tidak
mengubah bentuk hubungan raja-raja Melayu dengan “rakyatnya” (the Rulers and
their subjects). Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pelindung hak-hak rakyatnya dan
kedudukan agama Islam tidak disentuh. Perjanjian penubuhan Federation of Malaya
pun mempunyai peruntukan seperti itu
Ketiga, Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peruntukan-peruntukan
sedemikian. Secara sepintas lalu:
(a) Selepas menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, Perkara
3(2) mengisytiharkan bahawa “kedudukan Raja sebagai Ketua agama
Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan
ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada
Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang
dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan
tercacat;....” Di negeri-negeri tanpa raja, Yang Di Pertuan Agong adalah
ketua agamanya.
(b) Perkara 153 (1) memperuntukkan bahawa adalah “menjadi tanggungjawab
Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang
Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak
dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”
(c) Perkara 153 (2) mengulangi bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah
menjalanakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang
persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi
kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara
Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang
Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan
Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang diPertuan
Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan
awam…..biasiswa……..”
(d) Perkara 153 (3) menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi
memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan
anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatanjawatan
dalam perkhidmatan awam dan biasiswa…….memberikan apaapa
arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana
Suruhanjaya ……atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang
dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian
3
biasiswa………dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah
mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.”
Perhatikan, Perkara 3 melibatkan raja-raja dalam hal agama Islam. Kita mesti faham
bahawa tugas raja sebagai ketua agama Islam bukanlah seperti seorang Khalifah AlRasyidin
yang mempunayi kuasa sebagai hakim, mufti dan apa sahaja yang
berkaitan dengan agama Islam. Tugas-tugas itu telah diberi kepada badan-badan
tertentu. Tetapi, sebagai ketua agama Islam, raja-raja semestinya, secara umum,
mempunyai peranan bagi menjaga kepentingan umat Islam dan kedudukan agama
Islam. Jika tidak tidak ada maknanya raja-raja dijadikan ketua agama Islam.
Perkara 153 bukan sekadar mengatakan bahawa keistimewaan hendaklah diberi
kepada orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan
Sarawak dalam perkara-perkara tertentu. Ia menjadikan tanggungjawab Yang diPertuan
Agong untuk melindungi kedudukan istimewa mereka. Kalusa (2) dan (3)
pula menyatakan apa yang baginda patut lakukan dalam melaksanakan
tanggungjawab keperlembagaan itu.
Maka, Yang di-Pertuan Agong bukanlah seorang raja yang “berkecuali” sehingga
tidak perlu mengambil berat tentang hal agama dan umat Islam dan kedudukan
orang Melayu. Baginda dipertanggungjawabkan oleh Perlembagaan untuk
melindunginya. “Melindungi” samalah dengan menjaga supaya kedudukan itu tidak
tergugat. Maka, jika timbul sesuatu keadaan yang menggugat hak dan kedudukan
orang Melayu, umat Islam dan agama Islam, semestilah tidak ada salahnya bagi
orang Melayu dan umat Islam untuk menghadap baginda untuk mempersembahkan
hal keadaan itu kepada baginda, dan tidak ada salahnya bagi baginda, sama ada
secara bersendirian atau melalui Majlis Raja-Raja, menyatakan pandangan baginda
kepada pihak-pihak berkenaan, malah “menasihati” mereka untuk mengatasi
masalah itu. (Hujah ini terpakai juga kepada raja-raja Melayu di negeri masingmasing.)
Sekarang kita lihat resolusi Multaqa Perpaduan Ummah bertarikh 18 Mai 2016. Perlu
diambil perhatian bahawa raja-raja adalah salah satu institusi yang akan ditemui
oleh wakil-wakil Multaqa itu. Yang lainnya termasuklah tokoh-tokoh utama parti politik
Islam, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Mengenai raja-raja, resolusi itu
menyebut:
“a. Menghadap Duli-Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
dan Raja-Raja Melayu untuk memohon Baginda-baginda semua campur tangan atas
sifat sebagai payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.”
Dua perkara perlu di ambil perhatian. Pertama, ia meminta raja-raja “campur
tangan”. Kedua, asasnya ialah sebagai “payung bagi agama Islam dan rakyat
Malaysia seluruhnya.” Ertinya, Multaqa itu bersandar kepada hubungan tradisional
antara raja-raja Melayu dan rakyatnya yang saya sebut di awal kertas ini.
Jika itulah hasratnya, saya tidak nampak apa salahnya. Bagaimana raja-raja akan
“campur tangan”, jika mereka bersetuju berbuat demikian, mengikut hemat saya,
adalah seperti yang saya sebut di atas, ia itu dengan menyatakan pandangan
mereka atau menasihati secara bersendirian atau melalui Majlis Raja-Raja. Sama
4
ada ia akan berkesan atau tidak untuk mencapai hasrat yang dikehendaki
terserahlah, terutama sekali kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam.
Ini membawa kita kepada soalan yang saya kemukakan di Multaqa itu: Adakah
mereka (tokoh-tokoh utama parti politik Islam) sanggup mengorbankan
kepentingan diri, jika perlu, untuk mengelak mala petaka yang lebih besar itu?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment