Wednesday, July 8, 2015

Peneroka Terima Dividen FGV

ELEBU – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, hari ini mengumumkan pembayaran dividen FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melalui pegangan FELDA dalam syarikat ini yang berjumlah RM 59,212,800. Pembayaran dividen ini adalah termasuk dividen awal sebanyak 6 sen sesaham dan dividen akhir sebanyak 4 sen sesaham. Perdana Menteri yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga peneroka juga menyampaikan duit raya kepada peneroka FELDA dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM29,606,400. Dividen FGV dan pemberian duit raya ini akan dibayar mulai 13 Julai 2015. Seramai 98,688 peneroka FELDA yang bersama FELDA dan layak, masing-masing akan menerima dividen sebanyak RM600 dan RM300 duit raya manakala 13,947 peneroka yang tidak bersama FELDA tidak mendapat dividen dan duit raya. Peneroka yang tidak bersama FELDA adalah mereka yang tidak menanam semula bersama FELDA atau tidak menghantar hasil ladang ke FELDA, berurusniaga tanah tanpa kebenaran FELDA dan menyaman FELDA. “Saya berharap pemberian duit raya ini akan dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal,” ujar Perdana Menteri. Beliau turut menyeru kepada peneroka yang tidak bersama FELDA agar dapat kembali bersama FELDA bagi maju bersama dan memakmurkan lagi tanah rancangan. Hadir bagi Program Ihya Ramadhan 2015/1436H di sini adalah Pengarah Besar FELDA, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Kumpulan FELDA, Pengurusan Kumpulan FELDA, 5,000 warga peneroka, dan penduduk-penduduk kampung tradisional berdekatan. Felda Voice

No comments:

Post a Comment