Monday, February 6, 2012

Cubaan Anwar Ibrahim untuk menghapuskan pinjaman PTPTN

1. sekumpulan mahasiswa yang begitu terpengaruh dengan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Mereka yang terpengaruh dengan janji Pakatan ini tidak memahami sejarah dan pemimpin yang mewujudkan PTPTN sendiri.

2. Apabila Anwar mengumumkan beliau akan menghapuskan pinjaman PTPTN mereka bersorak sakan tanpa melihat asal ususl kemunculan dana ini.

3. Pada awal 1991, Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) mengumumkan pelan jangka panjang Wawasan 2020 iaitu ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berasaskan kepakaran dan teknologi serta mewujudkan rakyat berpendapatn tinggi. Justeru, mahu tidak mahu jumlah pelajar pengajian tinggi juga perlu ditambah dengan banyaknya agar selari dengan hasrat Wawasan 2020 itu.

4. Selain itu, perkembangan pesat Institut Pengajian Awam dan Swasta, kemunculan begitu ramai pelajar yang lulus cemerlang dalam pengajian peringkat menengah sejak penghujung alaf lalu menyaksikan kerajaan tidak lagi mampu menyediakan peruntukan yang besar dalam pemberian pinjaman dan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam seperti sebelum itu.

5. Atas sebab itulah kerajaan menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566).


Hipokrasi Anwar Ibrahim

6. Siapakah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika PTPTN ini ditubuhkan? Nyata sekali PTPTN ditubuhkan di bawah batang tubuh pemimpin yang hari ini ke hulu ke hilir mendakwa PTPTN menekan mahasiswa, zalim dan merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memberi pendidikan percuma sehingga ke universiti.

7. Tujuan PTPTN ialah untuk mengambil alih peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sebelum ini merupakan agensi pemberian pinjaman pendidikan terbesar kerajaan selain Majlis Amanah Rakyat (MARA). PTPTN bertujuan mewujudkan satu tabung pinjaman pendidikan yang tidak lagi memerlukan peruntukan kerajaan saban tahun seperti JPA sebelum ini.

8. Malangnya PTPTN bermula dengan langkah yang salah apabila mengenakan caj sehingga 4% setahun ke atas pinjamannya. Ini menimbulkan kemarahan para pelajar yang terasa mereka dibebani oleh pinjaman pendidikan yang terlalu tinggi apabila mula bekerja.

9. Tapi sekali lagi pengenaan caj 4% ini dilakukan di bawah pengawasan Menteri Kewangan mana? Orang yang sama hari ini yang mendakwa pinjaman PTPTN dan caj pengurusan, yang jauh lebih rendah daripada zaman beliau, sebagai zalim dan menindas mahasiswa.

10. Namun kerajaan Barisan Nasional yang prihatin ini kemudiannya menurunkan kepada 3%dan setereusnya menganjurkan skim baru yang hanya mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 1% sahaja. Dan ingatlah semua ini berlaku bukan lagi pada zaman pemimpin "rakyat" bernama Anwar Ibrahim memegang kuasa.

11. Sungguhpun kita mengetahui sikap hipokrasi pemimpin Pakatan ini, namun kita juga harus menerima hakikat bahawa wajah, struktur dan bentuk PTPTN boleh diberi nafas baru yang menjadikannya lebih mesra rakyat.


PTPTN Perlukan Perubahan Drastik

12. Sehingga tahun lalu seramai 885,564 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membayar balik pembiayaan pendidikan masing-masing yang berjumlah RM5.3 bilion. Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, 114,125 peminjam telah diluluskan penangguhan bayaran balik disebabkan menyambung pelajaran, masih belum bekerja dan dalam proses tawaran yang melibatkan amaun sebanyak RM967.18 juta.

13. Ini bermakna masih ada lagi ruang untuk pelajar yang telah lulus pengajian memohon penangguhan bayaran semula. Namun masih ramai yang tidak berpuas hati kerana PTPTN mewajibkan mereka mula membayar balik enam bulan selepas habis pengajian. Jika tidak mampu membayar maka perlu melakukan rayuan dan bergantung atas budi bicara para pegawai PTPTN. Malahan saya dimaklumkan PTPTN mempunyai budi bicara untuk mengurangkan bayaran bulanan sehingga serendah RM 50 sebulan.

14. Namun masalah yang besar ialah mengenai jumlah yuran pengajian yang begitu tinggi di Institut Pengajian Tinggi Swasta sehingga menyebabkan ada antara pelajar lulusan vokasional dan teknik berhutang dengan PTPTN sehingan RM 45 ribu ke 50 ribu sebaik tamat pengajian.

15. Dalam keadaan inilah kerajaan harus menganggap memberi pinjaman pendidikan tinggi kepada para pelajar merupakan satu bentuk pelaburan yang kalau tidak lebih penting pun tentulah sama penting dengan pelaburan pembangunan lain.

16. Pada hemat saya PTPTN perlu menggunakan skim pembayaran balik pinjaman MARA yang lebih mesra pelajar dan sangat bertimbang rasa. Ini membolehkan pelajar menikmati pelbagai potongan diskaun selain menggalakkan kerja keras mahsiswa menumpukan kepada pelajaran. Jika pelajar yang mendapat kelulusan baik diberi potongan tertentu, maka lebih ramai yanga akn menumpukan kepada pelajaran berbanding menghabiskan masa berhibur dan berdemontrasi.

17. PTPTN sebagai organisasi yang berkait rapat dengan kerajaan tidak harus menjadi seperti bank yang mengenakan pelbagai caj dan faedah sehingga membebankan mahasiswa.

18. PTPTN mendapat dana permulaan daripada kerajaan. Saya percaya kerajaan boleh menambah dana tersebut jika PTPTN mempunyai strategi yang berkesan untuk menjadi sebuah organisasi yang mapan pada masa akan datang.

19. Justeru PTPTN harus mengambil langkah seperti MARA yang kini khabarnya mempunyai cabang pelaburan sendiri bagi mengumpul dana untuk organisasi dan aktiviti mereka. Atau sekurang-kurangnya PTPTN boleh mencontohi model pengurusan dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)yang mampu mendapat keuntungan bagi menampung kos operasi dan membayar dividen kepada penyimpannya.

20. PTPTN boleh memohon dana khas kerajaan untuk pelaburan dalam industri tertentu yang tidak berisiko tinggi tetapi mempunyai pulangan sederhana. Kos pengurusan PTPTN dan juga kerugian daripada pemberian diskaun kepada pinjaman pelajar boleh ditampung dari sumber keuntungan pelaburannya, bukan daripada pinjaman pendidikan itu sendiri seperti yang berlaku sekarang.

21. Dengan peruntukan berbilion daripada kerajaan, adalah mustahil untuk PTPTN tidak mampu untuk mencari peluang pelaburan yang mencukupi untuk membiayai pengurusan organisasinya dan juga menampung kekurangan dana pinjaman akibat pelupusan dan juga pengurangan bayaran balik pinjaman.

22. PTPTN juga boleh melakukan pelbagai aktiviti mengutip dana untuk tabung pinjaman ini jika syarikat korporat, dermawan dan rakyat percaya mereka membuat kerja membantu mahasiswa bukannya menindas mahasiswa.

23. Yang utuma dan penting ialah PTPTN tidak seharusnya mengambil jalan senang dengan memberi pinjaman dan mengutip bayaran semata-mata sehingga ia menjadi satu bebanan politik kepada rakyat.

24. Belajarlah daripada agensi lain terutamanya daripada MARA yang bukan sahaja berupaya menaja para pelajar ke luar negara tetapi juga memberi pinjaman yang sangat fleksibel dan mesra mahasiswa.

No comments:

Post a Comment