Wednesday, October 5, 2011

Sampai Bilakah 'Pembangkang' Perlu Bergantung Kepada Jentera PAS Pada Setiap Kali Pilihanraya?


Setiap kali berlakunya pilihanraya, baik pilihanraya kecil atau pilihanraya umum maka pasti ada saja yang merungut di "kem pembangkang", terutamanya tentang persediaan jentera dan petugas pilihanraya. Apa tidaknya, setiap kali musim pilihanraya pasti jentera Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang lebih menonjol daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri.


Di Pahang, senario ini memang kerap berlaku dan sudah menjadi kebiasaan kepada semua pihak sebenarnya. Persoalannya, apakah fenomena ini harus dibiarkan terus berlaku sampai bila-bila?. Jentera atau petugas pilihanraya adalah penting dalam membantu kemenangan. Maka itu, jentera harus dilatih dan diperkemaskan dengan kemahiran untuk berkerja sebelum, semasa dan selepas sesuatu pilihanraya itu. Mutakhir ini, bagi negeri Pahang apa yang bakal disaksikan masih hampir sama dengan yang terdahulu. Kebergantungan terhadap parti PAS, dilihat sebagai sesuatu yang sudah pasti akan berlaku.


PAS yang dianggap "lebih advance" dalam kemahiran berhadapan dengan pilihanraya sering dijadikan alat setiap kali pilihanraya. Alasan yang diberikan cukup mudah iaitu parti lain iaitu DAP dan PKR, masih baru dan tidak mempunyai jentera yang mempunyai semangat jati diri dan komitmen yang tinggi seperti ahli PAS. Jika inilah alasannya, maka sampai bila agaknya ia boleh diubah. Sampai bilakah parti pembangkang lain harus bergantung kepada jentera PAS semat-mata. Malah, ada sesetengah kawasan langsung tidak ada cawangan atau kewujudan parti lain dalam pembangkang selain PAS.

Anehnya, ada pula parti yang tidak mempunya jentera yang cukup kuat dan bersedia tetapi berusaha melobi untuk bertanding di banyak kawasan sedangkan mereka tahu senario yang berlaku. Akhirnya, jentera PAS terus digunakan atas dasar persepakatan sampai bila-bila.

Mana-mana kawasan yang tidak berwibawa untuk parti lain memberi ruang kepada PAS untuk meletakkan calon mereka. Jika tidak sudah pasti ia akan mengecewakan ramai pihak, seolah-olah mereka diperalatkan oleh rakan-rakan yang lain. Semua ini sebenarnya berlaku di mana-mana di seluruh negara.Jika ia berlaku di kawasan yang ditandingi oleh PAS sendiri, mungkin tiada masalahnya. Bayangkan jika ia terjadi kepada kawasan yang ditandingi oleh parti lain?.Usaha perlu dilakukan lebih awal memperkuatkan jentera, bukan sekadar seronok beretorik mahu menawan Putrajaya sedangkan kemampuannya tidak ada.

No comments:

Post a Comment