Monday, May 25, 2015

Top-Up dan GST?

Sejak sistem perkhidmatan prabayar (prepaid) diperkenalkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi (telco), pembelian kredit prabayar (prepaid top-up credit) oleh pengguna dikenakan Cukai Perkhidmatan sebanyak 6%. Cukai ini dibayar oleh syarikat telco dan tidak dikenakan kepada pengguna. Dengan perlaksanaan cukai GST, syarikat telco boleh mengenakan GST kepada pengguna atas pembelian prepaid top-up kerana undang-undang tidak membenarkan mana-mana pihak untuk mendakwa bahawa ia menanggung GST bagi pihak pembeli atau pengguna. Namun, syarikat telco mampu menstruktur semula harga atau pakej perkhidmatan mereka agar pengguna tetap menikmati nilai perkhidmatan yang sama pada harga yang sama walaupun setelah cukai GST dikenakan. Sebagai contoh: Prepaid topup boleh dijual pada harga RM100 termasuk GST, iaitu harga topup RM94.35 + 6% GST = RM100 Jika dengan topup RM100 sekarang ini membolehkan pengguna membuat 1,000 minit panggilan/1,000 SMS, telco boleh menstruktur pakej agar RM94.35 tetap memberikan nilai perkhidmatan yang sama seperti sekarang (sebelum perlaksanaan GST). Khabarnya, ada beberapa telco yang sedang mempertimbangkan perkara ini. Dan sebenarnya pada ketika ini juga, terdapat cukai perkhidmatan 6% dalam topup. Cukai ini akan digantikan dengan 6% GST. Jadi soal kenaikan harga topup tidak sepatutnya timbul. Dalam industri perkhidmatan prabayar yang sengit ini, syarikat telco tentunya tidak akan sanggup kehilangan pelanggan dengan jumlah yang besar semata-mata kerana ingin mengelak dari beban cukai. Jika sebuah telco mengenakan harga yang tinggi, pengguna berhak beralih kepada telco yang menawarkan pakej yang lebih menarik. Untuk kekal kompetitif, telco harus menstruktur strategi pemasaran mereka agar sekurang-kurangnya dapat mengekal, jika tidak menambah peratusan pegangan pasaran. Ini kerana pelanggan dengan begitu mudah boleh menukarkan sewaan talian komunikasi kepada syarikat telco yang lain tanpa mengubah nombor telefon yang mereka pakai sekarang.